Forgive yourself and let go of any anger within you. Then you will see others with positive perspective







Tuesday, September 8, 2015

Perjalanan baru ku

Tepat pada 31hb Disember 2014, maka tamatlah sudah kerjayaku di tempat kerja ku sekarang setelah bekerja selama 21 tahun... 21 tahun!!... bagi sesetengah orang, agak lama. Tapi bagi sebahagian yang lain, masih kurang. Apapun, keputusan telah kuambil. Dan tiada jalan ke belakang lagi.

Aku memohon untuk bersara awal. Atas alasan untuk balik ke kampung dan menjaga kedua ibu bapaku. Keputusan ini tidak mudah sebenarnya. Jejak umurku 40 tahun, aku sudah mula berfikir-fikir tentang arah tujuan perjalananku, karierku, kehidupanku dan kehendakku. Apa yang kucari selama ini?

Dalam pada itu, aku telah ditugaskan untuk bekerja di luar negara selama 10 bulan, di bandar Kathmandu, Nepal. Negara yang tidak pernah kujangkakan akan ke sana. Walaupun aku berada di sana tidak terus-terusan 10 bulan itu, tapi pengalaman berada di sana membuatkan lebih mudah untuk aku menilai arah tuju kehidupanku. Pelik bukan?.. tapi itu lah realitinya. Kehidupan di sana memberikan makna penting buatku. Aku menjadi lebih prihatin dan lebih dekat dengan Allah. Bukan dalam ertikata aku sering solat malam atau sering membaca Al-Quran, tetapi dalam melihat kehidupan masyarakat di sana dan juga dalam pada aku menjaga nilai-nilai Islam.

Bila surat bersara awal ku berikan kepada Ketuaku, tersentak juga dia untuk seketika. Aku ditanya mengapa dan kenapa. Jawapanku memang mudah. Untuk ibu dan ayah, dan juga untuk memberi peluang orang bawahanku menjadi ketua. Perkara yang ketuaku tidak boleh sangkal adalah hal ibu ayah kerana dengan sebab ini, walau ditawarkan gaji tinggi atau jawatan yang lebih baik, keputusan tidak akan berubah. Aku tidak mahu bercerita panjang tentang hal pertemuan kami di sini.

Padaku, hanya satu perkara yang kucari. Itu pun baru kusedari semasa aku bercerita dengan kawan sepejabat di Kathmandu. Dia seorang yang tidak mempercayai tuhan, tetapi mempercayai kepada roh-roh yang ghaib dan kehendak sendiri. Hindu bagi dia adalah budaya sahaja, bukan agama. Jadi berbalik pada persoalan kami berdua. Antara kami berbicara tentang dua perkara penting. Persoalan pertama, apa yang satu-satunya yang menghalang diri untuk berjaya? Persoalan kedua: Apa tujuan hidup diri?

Untuk persoalan pertama, aku dan dia memang menjawab perkara yang sama. Iaitu satu-satunya yang menghalang diri untuk berjaya adalah diri sendiri. Jika ada kehendak, di situ ada jalan.

Untuk persoalan kedua, hanya aku yang menjawab. Aku tidak dapat jawapan daripadanya dan sampai balik ke Malaysia, ku lupa untuk bertanya hal tersebut. Jawapan ku ialah, tujuan hidup diri adalah untuk mendapat keredhaan Allah. Kerana kataku, apa saja yang dilakukan di dunia ini, bukan untuk apa-apa pun. Bukan untuk kemewahan, harta benda, keluarga atau apa saja. Tiada apa yang lebih penting daripada mendapat keredhaan Allah. Dan dari itu, segala apa yang diterima, akan terima, telah terima menjadi tidak relevan. Selagi Allah redha, selagi itu akan kulakukan apa yang perlu. Kawanku agak terkejut dengan jawapan ku. Dia yang tidak percaya tuhan, macamana nak sama jawapan denganku. Sebenarnya, aku juga tidak menyangka jawapan begini. Tapi jawapan ini lah yang menukar arah tuju semua perkara yang kulakukan.

Doaku semoga aku terus istiqamah dengan pegangan dan jalan ini.


10.24pm.

Wednesday, April 20, 2011

Kisah Dari Email - Mata Siapa Yang TIdak Menangis

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.


Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"


Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"


"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"


"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"


Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"


Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"


Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"


"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.


Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.


Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.


Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.


Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"


Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.


"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut


Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu"


Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.


"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".


"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu"


"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar".


"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi".


"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"


Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!


Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.


Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.


Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Saturday, April 16, 2011

Catatan Perjalanan - Journey to Perak (Bukit Larut & Zoo Taiping)

Pada bulan Mei 2007,  aku, dan dua orang kawan sepejabat, Ani dan Gee, memulakan perjalanan adventure kami ke Perak. Perak??...macam tak glamer aje... Ops jangan sangka. Pergi ke Perak antara perjalanan kami yang membawa kenangan indah. Sebelum itu, kami pernah juga ke sana, tapi tempat tujuan yang berbeza. Kali ini expedisi penjelajahan kami mengikut rentak yang berbeza. Perjalanan ini aku pecahkan kepada dua episod. Tak seronok baca terlalu panjang. Aku susun ikut tempat lawatan utama. Ini lah kisah kami..

Kami memulakan perjalanan waktu malam selepas daripada waktu kerja kerana hajatnya akan bermalam di rumah sepupu Ani di Damansara. So jimatlah sedikit kos penginapan. Kami sering bermula begini memandangkan hanya aku seorang yang memandu kereta, so rehat yang cukup membolehkan kami 'enjoy' sepanjang perjalanan. Awal pagi, kami mula bertolak ke utara. Pagi yang indah dengan sinar matahari yang naik di balik-balik bukit di sepanjang lebuhraya ke utara.

Sempat kami menyinggah di tepian sementara atas bukit. Lupa apa nama tempat tinjau ni. Sempat jugak la kami berposing. Kalau tak ambik gambar, tak ada mana la perjalanan ini, kan? Tapi tak dapat lah aku nak letak semua gambar-gambar tu. Mana yang sesuai aja yang boleh diletakkan seperti gambar di atas bukit ni la. Boleh tahan aku ambk gambar?.. ada talent?

Selepas berhenti sebentar, kami menuju terus ke Taiping. Ye la, tentu sahaja kami berhenti sebentar di R&R Sg Perak untuk mengisi perut kami dan perut kereta. Kalau tak di isi, tak sampai pulak destinasi kami.


Maxwell Hill from top

Kami sampai di Taiping dan menginap di Hotel Seri Malaysia, Taiping. Satu yang aku nak ingatkan dalam perjalanan sebegini adalah merancang perjalanan sebelum memulakannya. Mana nak tinggal, bila nak bertolak, ke mana destinasi, bila nak balik semuanya perlu di rancang terlebih dahulu. Walaupun akan ada perubahan kerana ada perkara-perkara yang tak disangka-sangka, sekurang-kurangnya risiko tak menentu dikurangkan. Sampai jumlah perbelanjaan pun kami rancang dan asingkan. Dan dengan cara ini, kami tidak terkena perbelanjaan luar jangka.


Lepas saja check-in, kami terus keluar untuk ke Bukit Maxwell atau Bukit Larut. I've never been here before. Why I want to come?.. itu pun sebab kawan yang cadangkan sebab di sini terdapat kebun bunga tulip yang cantik dan berbagai warna. Tapi time kita orang datang, bunga tulip dah habis berkembang, jadi tak dapat menikmati keindahan bunga Tulip di Bukit Maxwell. Anyway, dah sampai, naik aje la Bukit Maxwell ni. Nasib kami agak baik kerana pemandu yang membawa kami ke atas ramah dan tak disangka rupanya orang Johor yang merantau ke Perak. Risik punya risik, abangnya dia kerja satu tempat kerja dengan kita orang..alahaii...keciknya dunia ni. Dengan dah kenal begini, dia bagi personal tour. Kebetulan tak ramai pelancong kerana musim bunga tulip dah abis. Jadi dia tunjukkanlah tempat2 yang menarik untuk ambik gambar. Alhamdulillah, ada hikmahnya jugak. Turun dari Bukit Maxwell tu, kita orang pekena ais cream ditaburkan kacang tanah yang lazat.. seeddaaaapp...

Lepas dari lawatan ke Bukit Larut, kami terus pergi ke Zoo Taiping. Rancangnya nak pergi malam untuk merasai Night Safari, tapi pemandu pelancong tak rasmi kata, baiklah pergi siang. Puas tengok binatang kat zoo. Jadinya, kami ikut cadangan beliau. Dan kami rasa cadangan dia ok sebab kami rasa enjoy tengok binatang-binatang di sana. Zoo Taiping ni berjaga dengan baik. Tempat pun ok. Kami naik tram zoo untuk ronda. Penat kalau nak berjalan. Dapat jugak penerangan daripada orang zoo. Nak jadi cerita, dalam meronda dalam tram, hujan turun punya lah lebat. Dengarnya Taiping ni adalah bandar yang paling kerap dapat taburan hujan. Alahaii...apa nak buat.. sekurang-kurangnya dapat lah mengambil gambar binatang-binatang yang ada.

Selepas dari melawat Zoo Taiping, kami balik ke hotel untuk rehat dan keluar semula untuk cari makan malam. Malam di Taiping agak meriah di sebahagian tempat. Ok la.. dapat jugak mencari makanan enak untuk dinner.  So, habis lah sessi pertama cerita perjalanan kami. Perjalanan untuk hari seterusnya akan ku sambung pada edisi perjalanan kedua Journey to Perak (Gua Tempurung)





My Blogger Update

It's been I have not been able to update my blog. Nak tulis blog pun kena ada mood sesuai. Kalau tidak, cerita jadi tak best terutama cerita tentang pengalaman sendiri.

Bagi kawan-kawan yang jadik follower, maaf kerana lambat mengisi cerita ruangan blok ini.. Will try my best, at least, two-three articles per month...

Thanx for reading my blog. Mudah2han cerita yang dipaparkan menarik untuk bacaan semua..


Thursday, October 28, 2010

Cerpen - Makna Sebuah Perpisahan

Karya: Rogayah A Hamid: Majalah Wanita; Jan 1983

Antara petikan-petikan di dalam cerpen ini.

......"Barangkali lelaki itu sedang mengingatkan surat-surat yang lalu. Bakarlah surat-surat itu. Ia hanya akan menjadi duri di dalam daging. Bakarlah puisi-puisimu untukku yang tidak sempat kulihat. Ia hanya memebakar keindahan hari-hari yang bakal datang. Cuma satu yang harus kau simpan, “jika ada kasih yang tumpah, yang tumpah itu adalah untukku.”....

....“Hidup ini jangan terlalu selfish. Nanti akan selalu kehilangan.” Selama ini aku bermimpi mengumpul bunga-bunga. Sehingga aku tidak pasti bunga yang manakah lebih harum baunya.".....


Untuk membaca keseluruhan cerpen ini Makna Sebuah Perpisahan

Monday, October 25, 2010

Kisah dari email - 7 kali tidak nampak Kaabah

Sebagai seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya, Hasan (bukan nama sebenarnya), mengajak ibunya untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.Sarah (juga bukan nama sebenarnya), sang Ibu, tentu senang dengan ajakan anaknya itu. Sebagai muslim yang mampu secara material,mereka memang berkewajiban menunaikan ibadah Haji. Segala kelengkapan sudah disiapkan.

ibu anak-anak ini akhirnya berangkat ke tanah suci. Keadaan keduanya sihat walafiat, tak kurang satu apapun. Tiba harinya mereka melakukan thawaf dengan hati dan niat ikhlas menyeru panggilan Allah, Tuhan Semesta Alam. "Labaik Allahuma labaik, aku datang memenuhi seruanMu ya Allah".

Hasan menggandeng ibunya dan berbisik, "Ummi undzur ila Ka'bah (Bu, lihatlah Ka'bah)." Hasan menunjuk kepada bangunan empat persegi berwarna hitam itu. Ibunya yang berjalan di sisi anaknya tak beraksi dia terdiam. Perempuan itu sama sekali tidak melihat apa yang ditunjukkan oleh anaknya.

Hasan kembali membisiki ibunya. Ia tampak bingung melihat raut wajah ibunya. Di wajah ibunya tampak kebingungan. Ibunya sendiri tak mengerti
  mengapa ia tak bisa melihat apapun selain kegelapan. beberapakali ia mengusap-usap matanya, tetapi kembali yang tampak hanyalah kegelapan.


Thursday, October 21, 2010

Cerpen - Gelora

Karya: Ibrahim Omar; Majalah Wanita, Jun 1983


Petikan dari cerpen ini.

........"Dia tidak lagi menunggunya di pintu depan menjelang kepulangan suaminya. Rumah itu rumahnya yang dibelinya sebelum dia kahwin. Bila keadaan anak agak sukar untuk dibiarkan dengan orang gaji yang terlalu banyak karenah, dia rela berhenti kerja untuk menjaga mereka. Walaupun gajinya ribuan ringgit kerana kelulusannya dari sebuah universiti yang terkenal di tanahair, demi kesejahteraan anak-anaknya, dia tetap tidak pernah kesal meninggalkan jawatan yang memberikan rezeki lumayan itu".....

......"Kalau aku kahwin dengan dia kerana tidak mahu harta-harta dan saham-saham itu digunakan oleh orang lain dengan membazir, itu salah? Kau kata aku tamak? Kau ingat senang si Zalifa itu nak menjaga hartanya yang banyak tu? Dia terlalu muda dan sebatang kara. Aku hanya seorang sepupunya sahaja......

Baca cerita sepenuhnya Gelora




Catatan Perjalanan - Taif, Arab Saudi

Awal tahun 2010, nama aku telah disenaraikan untuk pergi melakukan satu tugasan di Arab Saudi,.. dan tugasannya di mana?..Di Makkahtul Muqarramah dan juga Taif, Saudi Arabia!!... Alhamdullilah, tidak ku sangka ingatkan tanpa pergi umrah, dapat juga aku melangkah kan kaki ke bumi Makkah dan bonus lagi..dapat ke Taif. Dan yang paling seronok, tugas ku menyebabkan aku berada di sana selama 21 hari..solid!..Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang dan Maha Mengasihi...diberikan ku bonus ke Makkah melebihi daripada perjalanan umrah yang biasa.

Untuk kisah kali ini, aku akan bercerita tentang Taif dulu.. nanti akan ku ceritakan tentang Makkah kerana kisah di sana sungguh menakjubkan kerana perjalananku membawa aku kepada perspektif berbeza kehidupan di Makkah.

Bandar Taif, kalau mengikut kisah Nabi Muhammad SAW adalah tempat di mana Nabi dibaling batu kerana cuba menyebarkan ajaran agama Islam di sana. Tapi kesabaran Nabi tidak sampai menghukum penduduk Taif kerana kejahilan mereka. Taif merupakan bandar yang paling sejuk di Arab Saudi kerana kedudukannya yang amat tinggi di atas gunung. Tak silap 1800m dari paras laut dan lebih tinggi daripada Genting Highlands, kat Malaysia. Waktu kami datang ke sana sudah menghampiri pengakhiran musim sejuk tetapi sejuknya masih lagi menyucuk-cucuk tulang. Dengarnya sejuk nya boleh jejak sehingga 2 ke 5 darjah Celcius..Tapi tiada salji!!...Bandar Taif merupakan bandar perlancongan yang paling disukai oleh orang Arab. Di sini, terlampau banyak nya tempat reaksi keluarga yang akan penuh ketika musim panas di Taif; kerana waktu itu bandar Taif adalah nyaman di waktu tempat-tempat lain di Arab Saudi menghadapi panas sehingga 40-45 darjah Celcius.

 
Ada dua jalan yang untuk ke bandar Taif. Jalan pertama adalah agak jauh dan melalui jalan yang agak rata. Jalan kedua adalah jalan melalui tebing gunung. This is the most amazing route I've ever seen. Tak pernah dalam hidupku melalui binaan jalan tebing gunung yang menakjubkan dan menakutkan. Tak boleh dibayangkan bagaimana pembinaan dimulakan pada awalnya. Batu-batu gunung bagaikan berada di atas kepala setiap kali melalui tepiannya. Tengok lah sebahagian gambar yang ada di sini. Di sini ada 'cable car' yang kalau berani boleh la naik daripada kaki gunung hingga ke atas. Aku nak naik??? belum pasti lagi!!!

Tuesday, September 14, 2010

Cerpen - Kak Yam

Karya: Maimon Rahman ; Majalah Wanita; Julai 1978


Antara petikan daripada cerpen ini.

......Aku hanya bangga mempunyai seorang kakak yang penuh tanggungjawab dan pengorbanan yang besar terhadap adik-adik termasuk juga aku yang sampai sekarang masih memerlukan asuhan dari kak Yam. Memerlukan nasihat daripada kak Yam. Memerlukan bantuan daripada kak Yam. Entah kenapa.....

.....Setahuku bilik kak Yam ini mesti dikuncinya bila hendak berpergian ke mana-mana pun. Barangkali kak Yam terburu-buru hendak berjalan tadi....Amboi!! Biliknya teratur sekali. Sedap mata memandang. Bersusun buku-buku tebal di sudut meja tulisnya. Sebuah buku tebal berkulit merah pulasan bertulis perkataan kasar RAHSIA berwarna putih. Menarik sangat buku itu. Berminat hatiku hendak melihat dan membaca tulisan di dalam buku RAHSIA itu...

==> untuk membaca keseluruhan cerpen ini, ini kisahnya Kak Yam

Sunday, September 5, 2010

Kisah dari email - Kisah Anak Yang Jauh

Petikan dari kisah ini..

....."Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidah bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.
"Pah...Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulurkan dua ribu pun tak boleh bagi,....

.....Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis. "Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman"
"Betul kata Man tu abah.Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu menikam dada Pak Uwei.....

==> Untuk membaca kisah ini seterusnya, ini kisahnya Kisah Anak Yang Jauh

Thursday, September 2, 2010

Cerpen Dari Email - Kasihku Abadi

Karya Ismah Binti Harun

Sebahagian petikan dari cerpen ini


...."Sayang, abang tengok sayang ni cantik lah. Macam baru kahwin jer raut wajah sayang" Hisyamuddin tersenyum. Kelihatan pipi isterinya bertukar warna. Kemerahan kerana malu. Dia tertawa melihat perubahan isterinya.Rasa cintanya semakin mendalam. Engkau lah bidadari ku, dunia dan akhirat sayang.bisik hatinya. Asmah melangkah perlahan ke arah suaminya. Bibirnya menguntum senyum. Hisyamuddin terasa jiwanya melayang. Senyuman bidadarinya begitu mempersona. Hai, bertuahnya diriku memilikimu bidadariku. Lamunannya terhenti bila isterinya bersuara.....
 


 ..... Dia merenung wajah isterinya. Kelihatan lemah dan tidak bermaya. Serkup mulut yang membekalkan oksigen untuk isterinya sudah tiga hari di pasang. Namun tidak sedikitpun tanda-tanda isterinya akan sedar. Jari jemari isterinya di sentuh lembut. Terasa dingin. Di kucup satu persatu jari halus isterinya.....


===> untuk keseluruhan cerita, ini cerpennya Kasihku Abadi

Wednesday, September 1, 2010

Cerpen - Sepuluh Tahun Lalu

Karya Fatimah H.A; Majalah Wanita; (terlupa untuk mengambil tarikh majalah)

Petikan dari cerpen ini

"..Anna Salwa, nama yang manis. Semanis orangnya. Tingginya sederhana. Rambutnya hitam lebat berombak kasar, dibiarkan panjang hingga ke belikatnya. Punyai sepasang mata yang galak menawan. Raut wajah yang bujur telur itu cantik juga. Tetapi hairan, tidak adakah jejaka yang terpaut padanya?..."

"..... Wajahnya serta merta berubah merah. Barangkali dia terperanjat bercampur marah apabila menerima kata-kataku yang begitu lancang. Dalam gugup aku bersuara lagi, "Busu ingin Kak Anna ceritakan kisah sepuluh tahun lalu......"


==> untuk membaca keseluruhan cerita, ini cerpennya Sepuluh_Tahun_Lalu

Catatan Perjalanan - Davao, Filipina

Tarikh 3 Mei 2008 aku berlepas ke Davao, Filipina melalui Lapangan Terbang Changi. Bersama dengan dua  orang lagi kawan sepejabat, kami ke sana atas urusan tugas yang diamanahkan oleh ketua untuk membantu salah satu syarikat air di sana untuk menguruskan air tidak berhasil.

Penerbangan kami transit di Manila sebelum ke Davao melalui penerbangan domestik. Hati aku teramat teruja dengan tugasan ini. Walaupun ada tugas menanti, tapi kegembiraan melihat tempat orang yang tidak pernah aku jejaki tidak dapat kugambarkan melalui tulisan. Mungkin 2-3 gambar yang kulampirkan dapat menampakkan kegembiraan tersebut.

Kami disambut dengan mesra oleh wakil syarikat di sana. Mulut mereka tidak leka dari perkataan 'Ma'am' atau 'Sir' untuk menghormati kami sebagai tetamu. Tutur kata mereka lembut, bersopan dan tertib. Mereka menghormati kami sebagai Muslim dengan menyediakan makanan laut untuk santapan kami sepanjang berada di sana. Tempat tinggal hotel yang disediakan pun cukup cantik dan menghadap pemandangan laut yang damai.

Mereka ramah dan senang mesra walaupun tidak mengenali satu sama lain pada awalnya. Oleh kerana mereka fasih berbahasa Inggeris, urusan komunikasi antara kami menjadi mudah dan apa yang akan diajarkan juga mudah diterima dan difahami.

Orang Davao yang dikenali amat mudah menerima tunjuk ajar dengan baik. Mereka rajin bertanya, dan kami yang mengajar rasa amat berbesar hati memberitahu apa yang kami ketahui. Kami rasa tidak lokek untuk mengajar dan tidak berani untuk memberitahu perkara remeh temeh memandangkan minat mereka yang nampak ikhlas dan jujur.

Oleh kerana kedatangan kami di atas tajaan Badan Pembangunan Asia yang membantu negara dunia ketiga dalam mengendalikan urusan air mereka, kami tidak dibayar atas tugas sebagai konsultan. Tetapi kami tidak merasa terkilan tentang perkara itu. Di dalam hati kami, mudah-mudahan ilmu yang baik yang di ajar dan diamalkan akan memberikan kebaikan kepada kami di akhirat nanti. Bila itu yang kami tekadkan dan berbekalkan tugas yang diamanahkan, segala kerja kami menjadi mudah dan memenuhi kehendak mereka yang hendak menerima. Alhamdullilah syukur kami ke hadrat Allah di atas kurniaan ini. Jelas, bukanlah wang ringgit sahaja yang memberikan kegembiraan kepada kami.

Kami berada di sana cuma dalam 5 hari, tetapi layanan mereka yang baik meninggalkan kesan juga kepada kami. Sama juga seperti mereka. Keramahan dan pengetahuan kami juga memberikan kesan mendalam kepada tugas dan diri mereka. Kami di sana di layan bagai menteri, di bawa berjalan dan berehat bersama. Pertamakali dalam hidupku dapat merasai kopi durian dan juga 'durian shake'. Satu minuman yang tidak kusangka memang kaw kaw. Mereka memang kreatif pasal durian ni. Dan masa makan tengahari atau malam, durian di jadikan penyudah juadah..macam pembersih mulut laa..

Oleh kerana antara tugas kami melibatkan tugas di waktu lepas tengahmalam untuk mengenalpasti deruan air yang boleh menyebabkan air bocor dalam tanah, kami dan mereka bersama-sama bersengkang mata membuat tugas waktu pagi. Tapi yang bestnya masih boleh bekerja dengan baik keesokkan harinya. Satunya pun sebab subuh di sana masuk pukul 4 pagi, jadiknya lepas balik dari tugas, kami solat subuh dan tidor semula untuk bangun ke pejabat mereka pukul 9.00 pagi. Memang seronok waktu itu.

Kalau nak diceritakan lagi memang panjang tentang perjalanan ini. Cukup setakat ini, nanti akan kusambung semula pada catatan yang lainnya. Nanti akan kuceritakan tentang orang-orang Davao itu sendiri dan teman-teman di sana yang kukenali pada waktu yang singkat itu.

Sekian dulu...

Thursday, August 26, 2010

Cerpen Mikro (3) - Siswi

Sebagai pelajar cemerlang, wajar Puteri memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan. Sebelum keputusan diumumkan, berdasarkan prestasi dalam ujian kelayakan, Puteri memperoleh 6 agregat, dipilih malam untuk penganjur biasiswa untuk memulakan kursus di sebuat instituisi pengajian tinggi di kota raya.

Selesai empat semester, Puteri dan beberapa teman sepengajian layak mendaftar di sebuah instituisi tersohor di luar negara, jurusan kewangan.

Di instituisi luar negara itu, Puteri dan teman-temannya, semuanya 12 orang adalah perintis. Tiada rujukan di sana. MSD tentu saja tidak dapat membantu dalam aspek pemilihan subjek.

Namun soal kejutan budaya mungkin dapat dibantu dan diatasi. Cuma soal memperoleh daging sembelihan halal mengambil waktu. Dan ia baru dipertemukan di Pusat Islam yang beroperasi di masjid kecil yang tersorok. Alhamdullillah.

Orientasi dan pendaftaran kursus berjalan mulus, terutama dalam bidang pengkhususan Puteri. Namun, Puteri sedikit panik memilih dan memperoleh kursus pilihan untuk meperlengkapkan unit semesternya.

Ada beberapa kendala. Di antaranya, justeru waktu, kapasiti kulith, jadual yang tidak mengizinkan, akan lupus waktu sembahyang asar terutamanya dan tiada perujuk. Justeru dia terus mendaftar pada saat akhir untuk kursus pilihan bidang psikologi.
Setelah beberapa jam kuliah keterkejutan Puteri tidak susut surut. Kiranya dia memilih Psikologi Haiwan merujuk khusus kepada perilaku anjing.

Apa signifikansnya? Puteri puntang-panting menanyakan dirinya. Warga tua Barat banyak bertemankan haiwan itu. Budaya mereka. Banyak keluarga single parent ikut memelihara anjing di samping anak tunggal mereka. Mereka lebih prihatin terhadap haiwan itu ketimbang anak tunggal sendiri.

Puteri sedar keterlanjurannya. Apa pilihanku, tanya dirinya. Tempoh pengguguran kursus sudah berlalu dan unit itu penting secara keseluruhan kursus semesternya.

****END***Othman Puteh; Berita Minggu; 5hb Januari, 1997 ****

Wednesday, August 25, 2010

Buku - Travelog Syahadah

Petikan daripada buku 'Travelog Syahadah' tulisan Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah, keluaran PTS Islami Sdn Bhd

...Setiap kali melihat orang Islam bersujud dalam solat, pasti akan hadir ucapan, "Awak tengok orang itu mencium punggung kawannya. Busuk. Baru lepas kentut."  Subhanallah. Hari ini, selepas memeluk Islam, saya meletakkan perendahan diri dan mengadu segala kelemahan dan kekurangan saya, ketika saya bersujud. Kerana saya yakin, itulah saat paling bahagia dan dekatnya seorang Hamba dengan Tuannya yang bernama Allah Rabbul a'laamin...

Tuesday, August 24, 2010

Cerpen Mikro (2) - Pekerja

Semua pekerja bersetuju dengan tawaran baru majikan hasil perundingan dua pihak. Pihak majikan melalui Pengurus Tenaga Manusia menawarkan ganjaran relatif tinggi, sesuai dengan guna tenaga dan kenaikan harga barangan keperluan, serta pakej tahunan yang menarik.

"Waouuuuu!"

"Pemalas belaka."

"Fitnah! Jangan menuduh sebarangan."

"Keluaran kilang ini tak pernah berkurangan."

"Keluaran tak bertambah," tekan Pengurus Personal. "Kamu tak dedicated. Culas. Tak menunjukkan prestasi baik."

"Kami sentiasa bertugas. Bekalan elektrik terputus selama...."

"Itu Ogos dulu. Kamu tak bekerja dengan bersungguh-sungguh."

"Melampau. Tuduhan melulu."

"Ada buktinya."

"Naikkan upah!"

"Tak ada alasan upah mesti dinaikkan. Kita dah ada perjanjian tentang upah minimum dan upah maksimum. Sejak dulu pun, sejak zaman penjajah lagi, kamu di sini memang malas, malas dan malas," tekan Pengurus Personal, merah matanya.

"Menghina!"

"Kamu pentingkan hiburan dalam kerja. Menuntut hak mendengar lagu-lagu dan celoteh mengarut daripada juruhebah radio. Tak ada konsentrasi dalam tugas. Memang pekerja kelas tiga."

Ada yang ingin membantah.

"Dengarkan dulu.... Jangan cuba menafikan hakikat!" Jerit Pengurus Personal semakin galak. "Kamu pentingkan hiburan tanpa memikirkan keselamatan diri. Kamu tak pernah berfikir untuk membangunkan ekonomi diri dan keluarga. Kamu tak pernah perhitungkan kemajuan dan peningkatan keluaran kilang yang juga peningkatan maruah dan upaya diri, bangsa dan negara. Kamu tak pernah fikirkan... dan mengabaikan fleksibiliti."

Senyap. Diam yang cukup panjang, malah budaya kerja warga organisasi, kepimpinan dan fleksibiliti. Semua itu diterima dengan baik, gembira dan jadi bualan di mana-mana; di kantin, pada waktu rehat, waktu menunggu, waktu kerja bermula, waktu di surau, di ruang rekreasi dan waktu sendirian di tandas.

...dan Pengurusan Sumber Manusia akan memperkenalkan beberapa idea baru yang kreatif  bagi melicinlancarkan perjalanan organisasi dan memastikan keluaran mencapai matlamat sasarannya.

Demikian bunyi cuplikan surat pekeliling pertama selepas persetujuan dimeterai. Justeru, pihak pengurusan mulai mencipta suasana kerja yang menyeronokkan.

Pekerja cemerlang diberikan kesempatan mengikuti program latihan dan pembangunan diri dalam aspek kemahiran dan peribadi. Bidang yang berkaitan dengan sistem upah/saraan, persoalan penjawatan, hubungan dua hala, kesihatan dan keselamatan, kebajikan dan sosial, pembangunan dan keberkesanan organisasi sentiasa di kaji, diteliti dan diberikan perhatian utama.

Syukur Alhamdullilah!

Pada suatu ketika, permintaan pengguna relatif tinggi walaupun prasarana di luar bidang kuasa kilang sama sekali. Desakan permintaan tidak boleh diabaikan dan mungkin mencetuskan chaos. Bagi memastikan ia terlaksana dan mencapai matlamat keluaran melebihi maksimum dan demi kepentingan kala juga; maka satu pekeliling baru diedarkan.

...bagi memastikan keluaran mencapai matlamatnya, maka waktu minum pada setiap shif di tarik. Semua pekerja berada di tempat masing-masing meneruskan kerja. Tidak perlu ke kantin dan anda akan dibekalkan kek dan sebotol plastik air mineral. Sebagai eksperimen bulan pertama, semua pekerja lelaki tak perlu ke bilik air/tandas untuk pembuangan air kecil. Sila gunakan botol plastik kosong air mineral anda tujuan penampungan itu.

tt.
Pengurus
Sumber Tenaga Manusia


****END **** Othman Puteh; Berita Minggu; 15hb Januari, 1997 ****

Cerpen Mikro (1) - Pengurus Personal

Di sebuah kilang di lokasi Bandar Tiga Vi. Pengurus Personal seketurunan berdiri di hadapan para pekerja. Wajahnya tegang tanpa senyum. Berjurus kala dia tercegat tanpa berkata-kata untuk memulakan ucapan mingguan, sebelum bersenam di ruang terbuka itu.

Pandangannya tajam dan sukar amat ditafsirkan itu diterabayapkan merata ke setiap wajah lelaki perempuan yang moyok dan ceria juga.

"Kelas tiga!"

Jelas itu bukan halalintar membelah jagat raya. Namun suaranya memampan dan bertalun memecahkan gegendang telinga. Pekak dan berdarah. Sementara yang lain, bagaikan terpijak litar putus. Mereka terenjat kejang seketika dan saling terpinga tidak percaya.

"Memalukan sungguh....dan memang kamu semua pekerja kelas tiga."

Beberapa pekerja berteriak memprotes.

"Kalau bukan pekerja kelas tiga...ya kelas berapa kamu? Pertama?"

"Kami tak mau mendakwa dan mengangkat diri. Tapi, mengapa dikategorikan kami pekerja kelas tiga?" Bantah setiausaha badan kebajikan.

"Kamu pelawak," tingkah Pengurus Personal.

"Pelawak di pentas. Bukan di sini."

Ya, tidak...tidak. Bukan pelawak. Dan suara-suara itu bergawangan mengisi ruang terbuka.

"Omong kosong belaka. Boleh buktikan?"

Pekerja wanita bertudung itu terdiam. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan juga. Dia memandang ke belakang dan memandang ke hadapan tentunya. Dilihat semua pekerja memandang ke arahnya. Di dapatinya Pengurus Personal merenung tajam. Dia tercabar.

"Boleh buktikan? Apa jaminan kamu?" Pekerja wanita bertudung terasa maruahnya dicabul.

"Boleh!"

"Pekerja kelas pertama?"

"Pekerja kelas satu...ya!"

"Boleh?"

"Boleh..boleh...boleh!"

Dan seluruh ruang lokasi di hadapan kilang itu bagaikan terangkat gamat dengan boleh, boleh, boleh dan boleh...

"Okey, kita mulakan senaman ...satu...dua....tiga.."

***** END **** Othman Puteh; Berita Minggu; 5hb January, 1997 ****

Monday, August 23, 2010

Dunia yang makin tua

Dunia yang makin tua, makin menampakkan porak peranda. Sana sini keluar berita yang sedih...banjir besar, banjir kilat, banjir lumpur, ribut petir, tsunami, tanah runtuh, kemarau, kering berpanjangan, panas melampau... air dan elektrik yang tidak mencukupi...

Bukan itu saja, manusia pun semakin hilang arah.. anak-anak kecil dibuang merata-rata. Manusia dijualbeli. Pergaduhan dan pembunuhan bukan lagi sesuatu yang mengerikan. Darah dan nyawa macam tiada makna. Boleh diambil dan dipertaruhkan bila-bila masa aja..Siapa engkau, siapa aku bukan lagi sesuatu yang penting. Hormat menghormati, tolak ansur, budi bahasa...semuanya makin pudar dan hilang..

Aku juga yang semakin tua.

Aku dan dunia ini yang akan berlalu sehingga ke penghujungnya.. Moga Allah memberkati ku dengan iman yang berpanjangan hingga menjejaki syurga Mu yang abadi..

Sunday, May 30, 2010

A Moment of Peace

Where do you think i can find a moment of peace? Home? Facing the sea? Facing the sky? Within me? In my sleep?

Every where, every time, every milli seconds, there is no a moment of peace. There are fights, turmoils, doubts, worries, restlessness, expectations, disasters, works, actions, instructions...etc...etc...etc...never ends..

so where can I find this moment?

Thursday, November 5, 2009

Cerpen - Merak (Part 2/2)

******* Continued from Part 1 ***********

Gagak melompat, terbang rendah dekat Merak sambil meludah tuih. Terkena percikan airlior ke muka Merak. Gagak terbang ke awan biru sambil mengeluarkan suara kuak, kuak, kuak!

Merak menyumpah. Dia mengesat mukanya dengan sayap kanannya.

“Babi! Burung makan bangkai.”

Punai terbang ke hujung dahan, berhampiran dengan Merak yang berdiri atas busut.

“Teruskan tarianmu wahai si cantik manis,” Punai merayu. “Kami ingin melihat kelembutan gayamu dan keayuan wajahmu.”

Merak tersenyum memandang Punai.

“Sorrylah Punai, petang ini aku tak dapat meneruskan tarianku ini,” Merak berkata sedih. “Aku perlu mencuci sial di mukaku. Si celaka gagak telah meludah ke muka ku.”

“Ah, sayang!” Punai mengeluh.

“Aku perlu mencuci segera sial ini, “ ujar Merak lagi.

Punai angguk.

Merak melompat ke tebing paya. Dia terloncat-loncat di tepi tebing yang ditumbuhi rumput-rumput hiaju.

Paya itu, Merak namakan, Paya Indraloka, tempat Merak-Merak bermain sambil memandang ke mua air yang jernih. Di tengah-tengah paya itu ada pulau kecil di tumbuhi bunga-bunga indah; Bunga Matahari, Melur, Mawar, Ros dan Bunga Raya.

Dari tebing ke pulau kecil di tengah paya itu terentang jambatan kayu yang terukir dindingnya dengan ukiran tradisional Melayu.

Merak meloncat ke jambatan indah itu diikuti oleh anak-anaknya yang kecil molek. Mengembang ekor dan sayapnya. Punai, Murai dan Ciak terbang mengekori mereka.

Ketiga ekor burung itu hinggap di dahan Bunga Raya yang tegak merimbun bila Merak melabuhkan ponggongnya ke tibeing paya berhampiran dengan perdu bunga-bunga Ros.

Merak pandang wajanya ke dada air yang jernih macam cermin itu. Dia tersenyum wajahnya masih jelita, tidak luntur di telan zaman.

Ketiga-tiga anaknya bermain di bawah pokok-pokok bunga yang merimbun itu. Mereka berkejar-kerjaran dengan riang gembira.

Punai seronok benar melihat telatah anak-anak Merak. Dia pernah terfikir hendak meminta izin Merak untuk membawa anak-anaknya bermain di situ. Tidak boleh setiap hari, seminggu sekali pun cukup. Tetapi tiap kali berdepan dengan Merak, mulutnya seperti terkunci.

Hajatnya tidak dapat disampaikan.

Merak menjuntaikan kaki kanannya di atas satu ketul batu di tepi tebing. Hujung jari kaki kirinya mencecah air paya yang sejuk. Air paya itu tenang tidak berolak.

Gagak terbang melaang di permukaan paa sambil mengeluarkan suara; “kuak, kuak, kuak!”

“Celaka, datang lagi,” maki Merak sambil menceduk air dari paya itu dengan satu tempurung kelapa gading.

Dia nampak air berolak-olak di tengah-tengah.

Diangkat kaki kirinya yang terjuntai ke air. Dia bimbang olakan itu disebabkan oleh seekor buaya putih yan gdipelihara oleh neneknya duapuluh tahun dulu.

Dia tahu cerita itu dari ibunya. Sama ada benar buaya itu ada atau tidak, dia tidak tahu. Dia belum pernah melihatnya.

Merak menggonyoh mukanya dengan air paya itu. Semoga sial Gagak akan hilang. Semoga kecantikannya tidak akan luntur, tidak akan terjejas oleh sial Gagak --- burung terhodoh dan jijik bagi keturunannya.

“Keturunan aku dilahirkan Tuhan cantik-cantik dan indah-indah belaka,” dia bersuara bangga.

Merak bernyanyi. Merak mengibas-gibaskan sayapnya. Sambil bernyanyi, sambil mengibaskan sayapnya, dia mencuci mukanya yang terkena ludahan Gagak itu.

Gagak terbang lagi ke tengah ruang paya dengan buni kuak, kuak, kuak!

Merak mencemek.

“Pergi jahanam kau Gagak!” Dia berteriak sambil bangun. Malang baginya, kaki kanannya yang berpijak atas batu licin tergelincir dan dia terjunam jatuh ke paya.

Tubuhnya basah. Dia terkial-kial hendak naik semula ke tebing tetapi seluruh tubuhnya dah basah. Dia menjerit. Dia meneriak.

Punai, Murai dan Ciak amat terkejut mendengar teriakkan Merak yang menggelupur basah dalam air paya.

Merak tiba-tiba merasa kakinya disambar buaya. Dicuba tarik tetapi tidak dapat. Dia menggelupur.

“Toloooooggggggg!” Merak meminta bantuan.

Punai, Murai dan Ciak memerhati keadaan Merak yang kecemasan itu dari atas dahan Bunga Raya. Mereka tidak berani menolong.

“Buaya! Buaya! Buaya!” Merak meneriak penuh ketakutan.

Mulut buaya yang ternganga luas itu mengecutkan seluruh jantungnya. Bulu-bulunya yang indah, basah kuyup. Dia berjuang antara hidup matinya. Merak cuba menarik kakinya yang disambar buaya tetapi tidak terlepas.

Perlahan-lahan buaya menarik kaki Merak yang tirus itu untuk ditelannya.

Merak meneriak lagi meminta tolong.

Gagak melyang turun ke tempat Merak yang kecemasan itu. Dia nampak kepala buaya yang sedang hendak menelan Merak.

Gagak mematuk mata buaya berkali-kali. Buaya menggelepar. Ekornya membedal Gagak, bertalu-talu Gagak menyerang. Mematuk mata, mencakar kulit kepalanya hingga buaya terpaksa melepaskan kaki Merak.

Merak berenang ke tepian. Kakinya tersa sakit dan tidak bermaya lagi.

Buaya mengalah tidak tahan menerima serangan bertalu-talu dari gagak. Ia berenang menyelam ke lubuk di paya itu.

Gagak pandang merak yang terkapai-kapai. Dia memagut sayap Merak dan membawa ke tepian.

Merak lesu. Bulu-bulunya yang indah melekat ke kulit. Bulu-bulu itu tidak dapat di kembang dan dikuncupkan lagi.

Gagak berusahan menaikkan Merak ke tebing. Belakang Gagak sendiri tersiat kulitnya terkena bedalan ekor buaya tadi.

Punai, Murai dan Ciak cuma duduk memerhati.

Gagak menolak tubuh Merak lagi. Ditonyhoh dengan muncungnya yang serpih akibat mematuk kulit buaya yang keras.

Akhirnya Merak berjaya diangkatnya ke tebing. Tubuhnya lesu. Kaki kanannya patah. Sayapnya kuncup. Ekornya kuncup. Matanya terbuka, tetapi mulutnya tidak dapat bersuara.

Gagak jatuh di sisinya. Lemah dan terkulai. Dari kulit belakangya yang terkoyak, darah mengalr keluar.

Anak-anak Merak datang menghampiri ibunya lesu kelu itu. Dia ingin mengucapkan sesuatu pada Gagak tetapi mulutnya tidak berdaya hendak dibuka.


******* END *******