Penerbangan kami transit di Manila sebelum ke Davao melalui penerbangan domestik. Hati aku teramat teruja dengan tugasan ini. Walaupun ada tugas menanti, tapi kegembiraan melihat tempat orang yang tidak pernah aku jejaki tidak dapat kugambarkan melalui tulisan. Mungkin 2-3 gambar yang kulampirkan dapat menampakkan kegembiraan tersebut.
Kami disambut dengan mesra oleh wakil syarikat di sana. Mulut mereka tidak leka dari perkataan 'Ma'am' atau 'Sir' untuk menghormati kami sebagai tetamu. Tutur kata mereka lembut, bersopan dan tertib. Mereka menghormati kami sebagai Muslim dengan menyediakan makanan laut untuk santapan kami sepanjang berada di sana. Tempat tinggal hotel yang disediakan pun cukup cantik dan menghadap pemandangan laut yang damai.
Mereka ramah dan senang mesra walaupun tidak mengenali satu sama lain pada awalnya. Oleh kerana mereka fasih berbahasa Inggeris, urusan komunikasi antara kami menjadi mudah dan apa yang akan diajarkan juga mudah diterima dan difahami.

Oleh kerana kedatangan kami di atas tajaan Badan Pembangunan Asia yang membantu negara dunia ketiga dalam mengendalikan urusan air mereka, kami tidak dibayar atas tugas sebagai konsultan. Tetapi kami tidak merasa terkilan tentang perkara itu. Di dalam hati kami, mudah-mudahan ilmu yang baik yang di ajar dan diamalkan akan memberikan kebaikan kepada kami di akhirat nanti. Bila itu yang kami tekadkan dan berbekalkan tugas yang diamanahkan, segala kerja kami menjadi mudah dan memenuhi kehendak mereka yang hendak menerima. Alhamdullilah syukur kami ke hadrat Allah di atas kurniaan ini. Jelas, bukanlah wang ringgit sahaja yang memberikan kegembiraan kepada kami.
Kami berada di sana cuma dalam 5 hari, tetapi layanan mereka yang baik meninggalkan kesan juga kepada kami. Sama juga seperti mereka. Keramahan dan pengetahuan kami juga memberikan kesan mendalam kepada tugas dan diri mereka. Kami di sana di layan bagai menteri, di bawa berjalan dan berehat bersama. Pertamakali dalam hidupku dapat merasai kopi durian dan juga 'durian shake'. Satu minuman yang tidak kusangka memang kaw kaw. Mereka memang kreatif pasal durian ni. Dan masa makan tengahari atau malam, durian di jadikan penyudah juadah..macam pembersih mulut laa..
Kalau nak diceritakan lagi memang panjang tentang perjalanan ini. Cukup setakat ini, nanti akan kusambung semula pada catatan yang lainnya. Nanti akan kuceritakan tentang orang-orang Davao itu sendiri dan teman-teman di sana yang kukenali pada waktu yang singkat itu.
Sekian dulu...
No comments:
Post a Comment