Forgive yourself and let go of any anger within you. Then you will see others with positive perspective







Tuesday, July 7, 2009

Cerpen - Keheningan Subuh (Part 2/3)

Majalah Wanita, Julai 1983
Penulis: Wardziah Abd Rahman

*** sambungan dari Part 1 ***

Kini sudah dua tahun Norli mendirikan rumahtangga dengan Halim. Namun dia tidak pernah menemui kebahagiaan. Hasratnya untuk menyelamatkan Halim umpama mengejar bayang. Semakin dikejar semakin jauh perginya. Dan dia semakin hari semakin banyak menjeruk rasa. Jadilah dirinya umpama lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain.

Norli teringat ketika dinyatakan tentang perkahwinannya dengan Halim, dua orang rakan karibnya Rohani dan Jamilah menentang habis-habisan.

Tak ada lelaki lain ke Nor? Raja playboy tu yang kau pilih,” marah Ani.

Yalah Nor, kalau aku, aku tak mau lelaki macam tu, teman wanita keliling pinggang. Menyeksa badan saja,” tambah Milah.

Aku yakin kau tak akan tahan hidup dengan Halim tu Nor, merana kau nanti,” nasihat Ani lagi.

Aku agak sebulan kahwin kau dah lari ke bawah ketiak mak,” usik Milah, mereka ketawa lagi.

Itulah cabaran yang harus ditempuhnya. Dia tidak ingin mengaku kalah. Dia teringat kata-kata seorang pujangga, seorang yang berperibadi kuat umpama besi waja, semakin dibakar oleh keadaan, semakin dititik oleh cabaran hidup, semakin teguh dan tajam untuk menghadapi hidup. Seorang yang berperibadi lemah laksana timah, apabila terkena api ia hancur, apabila terketuk oleh cabaran hidup ia berkecai. Kerana itu dia ingin membentuk peribadinya seteguh besi waja.

Dan dia kembali teringat kata-kata emaknya dulu. “Ingatlah Nor, taatilah suamimu. Neraka tempatnya bagi isteri yang durhaka kepada suami,” begitulah pesan mak.

Kau bimbinglah Halim supaya kembali ke jalan yang direstuai Allah. Mak tau Halim anak yang baik tapi keadaan yang menyebabkan hidupnya berubah corak,” sambung emak.

Dan kini setelah dua tahun berkahwin dengan Halim, jiwanya tak pernah tenteram, hatinya tak pernah damai. Halim selalu buat perangan, balik jauh-jauh malam dan selalu kelihatan berdua-duaan dengan teman-teman wanitanya.

Nor tengok abang tak pernah sembahyang, kenapa?” Tanya Norli suatu malam. Suaminya membisu.

Dulu abang tidak begini, abang kuat beribadat, abang beragama,” sambung Norli sambil merenun suaminya.

Tapi setelah abang berjaya dan hidup mewah, abang seolah-olah lupakan Tuhan, lupakan Allah. Abang langgar segala larangan-Nya,” Norli terus berhujah.

Ya, memang benar dulu aku kuat sembahyang dan kuat beribadat. Tapi setelah semua orang yang kukasihi meninggal dunia, aku merasa amat kecewa. Semua doaku tak pernah dimakbulkan oleh Allah. Aku selalu berdoa semoga ibu sempat melihat kegembiraanku menerima ijazah, tapi doaku tidak dimakbulkan. Dan aku juga berdoa semoga Ramlah tidak mati. Sepuluh hari dia dirawat di hospital, sepuluh hari juga aku tidak tidur, berdoa siang dan malam semoga dia selamat tapi aku terus kecewa. Seolah-olah Tuhan membenciku.”

Tiap-tiap yang hidup mesti mati bang. Abang juga akan mati, bertaubatlah,” Halim ketawa berdekah-dekah.

Sepatutnya abang bersyukur kepada Allah kerana abang berjaya dalam pelajaran dan kini hidup senang.”

Aku berjaya kerana usahaku sendiri Nor.”

Jangan takbur bang, kejayaan abang adalah rezeki dari Allah. Hidup tidak akan berkat tanpa restu dari Allah bang.”

Ah, kau inat orang yang berlilit serban tu berkat hidupnya? Huh, orang yang berlilit serban seperti Pak Guru Haji Salim juga pentingkan dunia,” Halim meluahkan rasa hatinya.

Aku merupakan anak muridnya mengaji Quran yang terpandai tetapi kenapa dia menolak pinanganku?”

Itu kebebasan dia, dia berhak membuat keputusan siapa yang sesuai jadi menantunya.”

Bukan itu sebabnya tapi wang, wang dan pangkat yang jadi puncanya. Masa itu aku hanya kerani biasa mana nak lawan dengan guru lepasan universiti,” marah sungguh Halim.

Aku benci pada orang alim yang menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.”

Nor sayangkan abang, Nor mahu abang kembali ke jalan yang benar.”

Sayang konon! Aku tau kau kahwin dengan aku bukan kerana kasih atau cinta Nor tapi kerana simpati dan dipaksa oleh ibumu,” Halim ketawa kecil. “Aku tak perlukan simpati dari sesiapa pun. Aku bukannya anak kecil yang perlu dibelai dan dipujuk.”

Nyatalah kini yang Halim memang sukar dikawal, terpaksalah Norli terus memendam rasa. Sabarlah wahai hati, bisiknya selalu. Telinganya telah lali mendengar umpat jiran tetangga.

Suatu hari Ani datang ke rumahnya. “Halim ke mana?” Tanya Ani ketika mereka sedang menikmati minuman.

Dia keluar.”

Ke mana?”

Norli ketawa kecil. “Buat apa kau tanya sampai ke situ?” Ani mengeluh. “Kau ni dah jadi tunggul benyawa agaknya Nor. Suami kau kepit perempuan lain pun kau diamkan saja?”

Mana kau dapat berita karut ni?” Tanya Norli cuba bertenang. Tapi dadanya berdebar-debar.

Berita karut kata kau? Aku tengok dengan mata kepala aku sendiri Nor. Tiap-tiap malam minggu Halim mesti mengepit Ida. Ida tu mengajar sama satu sekolah dengan Milah. Dia beria-ia sungguh memberitahu Milah yang mereka akan kahwin bulan depan.”


*** sambung Part 3 ***

No comments: