Forgive yourself and let go of any anger within you. Then you will see others with positive perspective







Tuesday, July 14, 2009

Kisah Dari Email - Tugas Terakhir Lina (Par t 2/2)

** sambungan dari Part 1 ***

Jam sudah menunjukkan menandakan masuknya waktu Isyak. Maria mengerjakan solat Isyak dengan tenang. Setelah selesai Maria bersolek ala kadar dan Lina sudah menyelesaikan tugasnya. Maria lihat di atas mejanya proposal itu sudah lengkap dengan slide lay-out dan Maria dapat membayangkan presentationnya esok akan success.

InsyaAllah... dia akan mendapat premium yang agak lumayan dalam keadaan gawat-gawat begini. Maklumlah dalam keadaaan suasana ekonomi jatuh begini, setiap syarikat besar akan menggunakan insurans untuk mengurangkan risiko kerugian.

Satu demi satu Maria meneliti slide tersebut, dan dia berpuas hati dengan hasil kerja Lina. Nampaknya Lina sudah membuat beberapa pembetulan pada kerja Maria sebentar tadi, dan Lina bijak memilih warna. Maria rasa,Lina lebih sesuai masuk ke bidang grafik dari bidang insurans yang kurang kreativitinya yang tinggi ini.

"Eeeeee...... ngerinya...., macam manalah agaknya dia boleh design gambar eksiden punya real..??" detik hati Maria. Maria memandang slide bertajuk Motor Risks. Sebuah kereta dan bas ekspres menghimpit sebuah motosikal. Kedua-dua pemboncengnya mati. Salah seorang daripadanya tercampak dan terbaring agak jauh dari motosikal manakala yang seorang lagi terhimpit di bawah kereta. Digambarkan boot kereta kemek dan cermin pecah. Tinggi sungguh imaginasi Lina mengambarkan keadaan cermin kereta pecah berderai dan darah membasahi jalan raya. Maria sudah membayangkan suasana presentation esok.

"It is going to be successful presentation with all this slides....," Maria tersenyum gembira dan segera mengemas begnya. Lina masih tidak kelihatan Mungkin ke bilik air agaknya. Maria mencari di sana kemudian berpusing satu pejabat dan memanggil nama Lina, namun tiada sahutan.

"Ke mana pula Lina pergi..?? Dah balik agaknya budak nie...," bisik Maria setelah gagal menemui Lina. Mungkin keluar ketika dia sedang sembahyang dan tidak memberitahu Maria.

"Tak apalah...janji kerja dah siap..." detik Maria sambil membawa komputer bimbitnya dan kesemua persediaan untuk presentation kerana dia tidak bercadang untuk singah ke pejabat terlebih dahulu pagi esok.

Seperti yang dijangkakan, presentation berjaya. Pelanggannya bersetuju dengan setiap kelas insurans yang dicadangkan. Malah pelanggannya juga sanggup meningkatkan lagi sum insured bagi risiko harta benda mereka.

Maria memandu ke pejabat dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya. Tiba di bangunan Sime Darby, Maria segera menuju ke lif dan menekan butang ke pejabatnya. Maria masuk ke pejabat bersemangat untuk berjumpa Lina dan mengucapkan terima kasih atas hasil usaha kerjanya semalam. Tengah hari nanti Maria bercadang mahu belanja Lina makan. Walaupun Lina sememangnya patut membantunya tetapi Maria memang suka mengambil hati orang bawahannya.

"Puan Maria, macam mana you boleh happy aje hari nie...?? tegur Faridah, penyambut tetamu di pejabat nya.

"Presentation I success...,sebab tu I happy....Lina dah sampai..??" tanyanya.

"Lina..??...Err.., you tak tahu ke..??" wajah Faridah berkerut memandang
Maria.

"Tak tau apa??... Semalam Lina patut keluar dengan Zam.., tapi pukul 7:30 dia datang balik ke pejabat.... tolong I buat kerja,.... Dia kata datenya cancel...." Maria menatap Faridah yang begitu kehairanan.

"Dia datang balik ke pejabat pukul 7:30..????... Tolong you buat keja..??...Errr you tak baca paper hari nie ker...??.." Mata Faridah terbeliak. Banyak tanya pulak Faridah nie.

"Why...." hati Maria mula gusar. Faridah menghulurkan suratkhabar dan....otak Maria pantas mencerna pandangan matanya. Hatinya berdebar kencang ketika membaca tajuk utama akhbar hari tu.

>>>>DUA PEMBONCENG MOTOSIKAL MAUT DIHIMPIT KERETA DAN BAS' <<<<<

*** TAMAT ***

Kisah Dari Email - Tugas Terakhir Lina (Par t 1/2)

I terpaksa balik dululahh...., Puan Maria.... I got an appointment this evening....," Lina berdiri sambil memegang beg sandangnya. Maria merenung jamnya. Sudah pukul 5:45 petang, tapi projek mereka masih belum siap dan sekarang Lina sudah minta izin pulang.

"But we need to finish this proposal by tomorrow morning..... I want everything to be done before tomorrow........" Maria memandang Lina seolah-olah meminta simpati.

"Yes...,but it's all settle except for slides preparation.... I boleh buat esok pagi..", janji Lina.

"Okaylah..... go ahead but promise come early tomorrow...," Maria mengingatkan.

"No problem... I tak pernah datang lambat Puan Maria..., in case you've forgotten...," Lina tersenyum.

"Of course...... You never late.... but i believe thought is a special occasion, judging from I seen and.... jangan nak gaduh-gaduh lagi.....Tak baik...., nanti si Zam tu lari...., siapa yang rugi..???" Lina cuma tersengih mendengar komentar bosnya yang dianggap seperti kakaknya.

Maria memerhatikan Lina yang kelihatan anggun petang itu, melangkah keluar dari pintu office. Lina cantik, lemah lembut dan bijak. Beruntung sungguh boyfriendnya. Lina bukanlah seperti lain-lain sekretari yang memilih untuk tidak bekerja dengan bos perempuan. Kini.... tinggal Maria sendirian untuk menyiapkan kerja itu. Nasib baiklah Maria memang jenis bos yang pandai buat keje sendiri. Tahap kelajuan menaip bukan calang-calang, Maklum lah dia naik dari bawah sebelum duduk di kerusi Manager sekarang. Maria masih lagi tekun merekabentuk prensentation yang sesuai kerana Maria memang cerewet dalam hal-hal begini.

Tidak ramai sekertarinya yang boleh memahani apa yang Maria mahukan,kecuali Lina yang nampaknya boleh membaca fikiran Maria dan mempunyai etika yang bagus. Cuma tak suka stayback. Maklumlah orang muda tentu lebih seronok keluar dengan kekasih daripada bergelut dengan kertas-kertas dan angka-angka.

"Hhmmm.., mampus aku..!!! Macam mana nak design lay-out nie..??Macam ni buruk, ..macam tu pulak hodoh...., Problem...., Problem...!!! Bila aku boleh tidur nie....??? rungutnya. Maria memang nampak betul-betul tension sampai bercakap sendirian. Beberapa ketika kemudian, Maria hanya termenung di mejanya, sambil menghadap komputer. Kepalanya betul-betul buntu!!!Jam di monitor komputer menunjukan 7:30 malam.

Tiba-tiba kedengran bunyi swipe card digunakan di pintu utama.

"Assalamualaikumm..., Puan Maria...." suara yang memberi salam didengarnya. Untuk memastikannya, Maria berpaling, "Waalaikumsalam....., Eh.., kan ada date..??" Maria merenung Lina yang kelihatan agak murung.

"Date I cancel lah.....," jawab Lina perlahan.

"Kesian you...., takpe...., kita siapkan projek nie yer...... I pun sampai tahap buntu dah nie. I nak pergi sembahyang Maghrib dulu......You buat bagi habis, nanti I hantar you balik,"Maria bangun dan mencapai Al-Quran di hujung meja. Lina mengangguk dan terus duduk di kerusi yang Maria duduki sebentar tadi.

"I stuck kat Motor Risks tu.... Tak tau nak buat lay-out kemalangan jalanrayalah.....", Maria menggaru-garu kepalanya. "Kalau boleh I nak yang betul-betul real supaya potential client tu faham kenapa kerajaan wajibkan insurans kenderaan..... Boleh tak you buat something, ngeri tapi menginsafkan orang yang memandangnya.....," sambungnya sambil mengambarkan apa yang diingininya.

"Sure.., no problem.... I dah alami kemalangan jalanraya nie, I rasa I boleh buat apa yang you nak...," balas Lina. Maria tersenyum lega. Dia tahu kemampuan Lina.

"Good.., I pergi sembahyang kejap...., Lepas tu I nak mengaji sampai Isyak....., and don't hesitate to interrupt me if there is anything.....," Lina angguk.

"You bacakan Yassin untuk I..., boleh tak ..?? Maklumlah I tak sempat belajar mengaji...," kata Lina perlahan sambil memandang Maria.

"Tak sempat ke malas....??" Lina cuma tersenyum mendengar sindiran pedas Maria.

"Kita keje nie keje jugak...., Jangan sampai jadi hamba kerja dan lupa pada kewajipan. I rasa tak pernah nampak you sembahyang.........Lagipun kita...bukannya tak ada kemudahan untuk beribadat kat office nie.....," sekali lagi Lina terkena. Pedas..tapi itulah kenyataan!!! Dia tahu Maria tidak bermaksud menyakiti hatinya.

"Eerrrkk.., tak sempat...."balas Lina sambil tunduk. Maria terus menuju ke surau yang terletak cuma kira-kira 20 meter dari dalam surau. Maria dapat mendengar keyboard komputer berdetik-detik. Selesai sembahyang Maghrib, Maria terus berdoa semoga proposal itu diterima. Kemudian Maria membaca Al-Quran sementara menunggu waktu Isyak. Kedengaran bunyi printer sedang digunakan.

"Cepat dan cekap sungguh Lina bekerja", bisik Maria. Belum pernah Maria rasa puas hati dengan sekretari-sekretarinya sebelum ini.

** sambung Part 2 **

Tuesday, July 7, 2009

Cerpen - Keheningan Subuh ( Part 3/3)

Majalah Wanita, Julai 1983
Penulis: Wardziah Abd Rahman

*** sambungan dari Part 2 ***

Malam itu Norli tidak dapat melelapkan matanya, dia menunggu suaminya dengan penuh debaran. Dia ingin suaminya berterus terang. Dia inginkan kepastian dan dia ingin membuat keputusan.

Pukul dua belas malam suaminya belum juga pulang. Norli melangkah ke dapur mengambil air sembahyang dan sembahyang sunat dua rakaat. Kemudian dia berdoa.

Dia segera menanggalkan telekungnya bila terdengar pintu di buka dari luar, Halim membawa kunci sendir. Abang Halim pulang! Bisik hatinya. Dia bergegas keluar, dadanya berdebar kencang. Kaki dan tangannya terasa sejuk.

Abang dah makan?” Sapanya lembut sambil merenung suaminya. Halim mengangguk, Norli duduk di kerusi.

Kenapa kau tak didur? Aku tak suruh kau tunggu,” Halim memandang isterinya.

Baiklah, sekarang Nor mahu abang berterus terangn. Beulkah abang nak kahwin dengan Ida?” Tanyanya dengan debaran yang memuncak.

Kalau betul apa kau nak buat?” Halim menjawab dengan selamba. Norli amat terkejut.

Nor tak sangka abang sebegini kejam!” Katanya sambil menangis.

Nor mengahwini abang dengan harapan sikap abang akan berubah. Tapi nampaknya abang sikit pun tidak mahu menghargai segala pengorbanan Nor selama ini. Abang kecewakan harapan Nor, abang hancurkan hati Nor dan abang siat-siatkan jiwa Nor hingga remuk berkecai. Abang zalim!” Norli menangis sepuas hati. Dia mengurut dada. Bibirnya menggeletar menahan marah.

Kini Nor mengaku kalah. Nor gagal menjadi seorang isteri sejati. Nor tahu kasih abang bukan pada Nor. Abang kahwin dengan Nor hanyalah kerana nak membalas budi ayah. Kini Nor sedar Nor telah merampas kebebasan abang. Sekarang abang pergilah pada siapa yang abang cintai, Nor tidak akan melarang. Tapi sebelum itu bebaskanlah Nor dari ikatan ini dan kembalikanlah Nor ke rumah emak dan ayah. Anak dalam kandungan ini biarlah Nor yang menjaganya. Selama ini Nor yang mengandungkan dia, Nor yang merasai segala pahit-maungnya. Abang sikit pun tidak peduli penanggungan Nor. Biarlah Nor yang menjaganya dari awal hingga akhir. Dan biarlah hidup Nor sendirian asalkan hati dan jiwa Nor tenteram,” Nor menangis terus. Hatinya pilu dan terharu.

Sudahlah Nor, kau tu sedang sarat. Lebih baik tidur cepat,” Halim menyuruh, suaranya agak keras.

Kesihatan Nor tak penting bang. Tapi hati, hati Nor ini yang mahukan kepastian dan kejujuran abang. Nor tak mahu abang terus berpura dan bermain kayu tiga.”

Halim memandang isterinya. “Apa kau ingat orang lelaki tak boleh kahwin lebih dari satu ke?” Tanyanya agak sinis.

Norli mencemik. “Huh, kahwin nak ikut sunnah Nabi tapi kenapa sembahyang abang abaikan? Kenapa puasa jarang abang kerjakan sepenuhnya? Dan kenapa abang tidak bersyukur dengan segala nikmat dari Allah?” Bidas Norli agak marah.

Aku tau apa yang aku buat Nor. Kalau aku nak kahwin tiga atau empat pun apa salahnya, memang aku mampu!” Jawab Halim selamba.

Kalau begitu lebih baik kau hanar kau pulang ke rumah mak. Aku tak suka hidup dengan kau lagi. Kau perosak hatiku! Kau penghancur jiwaku!” Jerit Norli dengan marah, geram campur sedih.

Halim terkejut, selama ini Norli tidak pernah ber”aku” dengannya. Tapi malam ini nampaknya Norli bersikap agak kasar. Dia tersinggung.

Kalau kau nak balik, baliklah sendir. Kenapa nak susahkan aku pula,” cabarnya melepaskan geram.

Norli terpempam seketika. Tak disangkanya Halim akan berkata begitu. Dia merenung Halim dengan tajam. Halim terus selamba, dia membarinkan dirinya ke atas katil dan memejamkan matanya. Dia tahu Norli tidak akan pulang sendirian.

Tapi bagi Norli kesabaran juga ada batasnya. Kalau kesabaran itu dipijak-pijak dengan sewenang-wenangnya tanpa belas kasihan maka apa perlunya bersabar lagi? Air tenang jangan disangka tidak ada buaya dan setenang-tenang wajah Norli jangan disangka tidak ada menyimpa api kemarahan. Sekali dia meledak, taufanlah jadinya.

Kalau begitu baiklah,” jawab Norli sambil keluar dari bilik. Perutnya yang membesar membuatkan gerakannya begitu payah. Kekecewaaannya sampai ke puncak. Nafasnya agak sesak.

Biarlah aku pergi membawa diri, carilah orang yang sesuai untukmu, hatinya berbisik sayu. Air jernih berlinang di pipinya. Matanya berpinar, kepalanya pusing. Tanpa sedar dia berlari keluar, melangkahi anak tangga dengan cepat dan kakinya sejuk kaku dan lemah tidak dapat menampung badannya yang besar. Dia hilang imbangan dan serentak itu, dumm!!!...Norli jatuh tersungkur.

Ya Allah!!!...” Jeritnya kesakitan dan terus pengsan. Mendengar jeritan isterinya Halim terkejut. Dia meluru keluar dan memangku isterinya.

Nor!... Nor!... Kenapa Nor?” Tanyanya dengan cemas. Dia menggoncangkan bahu Norli berkali-kali. Wajahnya amat cemas, dia hampir menangis.

Kenapa sampai jadi begini Nor?” Suaranya tersekat. Dia mula menyesali sikapnya selama ini.

Malam itu Norli dikejarkan ke hospital dan di sana Halim disentakkan oleh berita yang amat mengejutkan.

Sebenarnya isteri saudar mengidap penyakit lemah jantung. Dan kini pernafasannya terpaksa menampung dua nyawa. Dia terpaksa dibedah segera, isteri saudara tidak ada tenaga untuk melahirkan bayi secara biasa. Dalam masalah ini hanya salah satu antara dua boleh diselamatkan, isteri ataupun anak saudara,” kata Doktor Rusdi.

Selamatkan isteri saya Doktor, selamatkan dia!” Rayu Halim separuh menangis sambil memegang tangan Doktor Rusdi.

Ya, kita hanya berikhtiar, Allah yang menentukan segala-galanya,” ucap Doktor Rusdi sambil terus berlalu.

Halim terpegun, kalimat itu dirasa begitu menyejukkan urat sarafnya.

Halim serba salah, duduk salah berdiri pun salah, dia berjalan ulang-alik di luar bilik pembedahan.

Doktor, doktor, bagaimana isteri saya?” Tanyanya tergagap-gagap. Doktor Rusdi terdiam seketika.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas segala-galanya. Dia elah menyelamatkan anak dan isteri saudara,” ucap Doktor Rusdi sambil tersenyum.

Halim tersentak, cahaya kegembiraan terpancar di wajahnya. “Betulkah Doktor? Betulkah?” Tanyanya bagaikan tak percaya. Doktor Rusdi mengangguk.

Halim merenungi wajah isterinya, wajah pucat yang membendung segala derita. Dia menghampiri isterinya penuh rasa pilu dan hiba.

Maafkan abang Nor,” bisiknya sambil mencium pipi Noli. Pipi itu dirasanya sejuk tak bermaya. Norli mengalihkan pandangannya ke arah lain. Hatinya masih sakit. Air mata berlinang di kedua pipinya. Halim mengesat air mata itu dengan penuh kasih sayang.

Nor, esok kita balik ke rumah dan mulakan hidup baru ya,” Halim memujuk penuh mesra.

Tidak, Nor mau balik ke rumah mak. Nor au kasih abang bukan pada Nor. Nor tak mau hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” Norli bersuara dalam tangisan yang tersekat.

Sudahlah Nor, lupakanlah peristiwa yang lalu. Kini abang telah insaf, maafkanlah abang. Abang telah kembali ke jalan yang diredai oleh Allah,” Halim terus memujuk.

Nor kata tidak, tidak. Nor tak mau pisang berbuah dua kali,” ucap Norli dengan tegas.

Halim merenung anaknya dengan sedih. “Nor, lihatlah anak yang masih merah ini. Dia memerlukan kasih-sayang dan belaian mesra dari ayah dan ibunya. Lupakalah sengketa yang lalu Nor. Kita mulakan hidup baru bersama anak kita.”

Janganlah menggunakan anak untuk menyejukkan hati Nor. Hati Nor telah hancur dan jiwa Nor telah hangus terbakar. Nor tak perlukan kasih-sayang dari sesiapa pun,” Norli tersedu-sedan.

Tiba-tiba dia merasakan seperti sendirian di dunia ini. “Nor, janganlah kecewakan abang, abang telah lama menderita, jangalah tinggalkan abang. Abang perlukan kasih-sayang dari Nor dan anak kita. Maafkanlah abang, abang terlalu banyak menyeksamu Nor. Abang telah bertaubat, abang berjanji akan menjadi seorang suami yang bertanggungjawab. Terimalah abang kembali di hatimu Nor,” rayu Halim, dia menangis kepiluan sambil memeluk Norli.

******* TAMAT ******

Cerpen - Keheningan Subuh (Part 2/3)

Majalah Wanita, Julai 1983
Penulis: Wardziah Abd Rahman

*** sambungan dari Part 1 ***

Kini sudah dua tahun Norli mendirikan rumahtangga dengan Halim. Namun dia tidak pernah menemui kebahagiaan. Hasratnya untuk menyelamatkan Halim umpama mengejar bayang. Semakin dikejar semakin jauh perginya. Dan dia semakin hari semakin banyak menjeruk rasa. Jadilah dirinya umpama lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain.

Norli teringat ketika dinyatakan tentang perkahwinannya dengan Halim, dua orang rakan karibnya Rohani dan Jamilah menentang habis-habisan.

Tak ada lelaki lain ke Nor? Raja playboy tu yang kau pilih,” marah Ani.

Yalah Nor, kalau aku, aku tak mau lelaki macam tu, teman wanita keliling pinggang. Menyeksa badan saja,” tambah Milah.

Aku yakin kau tak akan tahan hidup dengan Halim tu Nor, merana kau nanti,” nasihat Ani lagi.

Aku agak sebulan kahwin kau dah lari ke bawah ketiak mak,” usik Milah, mereka ketawa lagi.

Itulah cabaran yang harus ditempuhnya. Dia tidak ingin mengaku kalah. Dia teringat kata-kata seorang pujangga, seorang yang berperibadi kuat umpama besi waja, semakin dibakar oleh keadaan, semakin dititik oleh cabaran hidup, semakin teguh dan tajam untuk menghadapi hidup. Seorang yang berperibadi lemah laksana timah, apabila terkena api ia hancur, apabila terketuk oleh cabaran hidup ia berkecai. Kerana itu dia ingin membentuk peribadinya seteguh besi waja.

Dan dia kembali teringat kata-kata emaknya dulu. “Ingatlah Nor, taatilah suamimu. Neraka tempatnya bagi isteri yang durhaka kepada suami,” begitulah pesan mak.

Kau bimbinglah Halim supaya kembali ke jalan yang direstuai Allah. Mak tau Halim anak yang baik tapi keadaan yang menyebabkan hidupnya berubah corak,” sambung emak.

Dan kini setelah dua tahun berkahwin dengan Halim, jiwanya tak pernah tenteram, hatinya tak pernah damai. Halim selalu buat perangan, balik jauh-jauh malam dan selalu kelihatan berdua-duaan dengan teman-teman wanitanya.

Nor tengok abang tak pernah sembahyang, kenapa?” Tanya Norli suatu malam. Suaminya membisu.

Dulu abang tidak begini, abang kuat beribadat, abang beragama,” sambung Norli sambil merenun suaminya.

Tapi setelah abang berjaya dan hidup mewah, abang seolah-olah lupakan Tuhan, lupakan Allah. Abang langgar segala larangan-Nya,” Norli terus berhujah.

Ya, memang benar dulu aku kuat sembahyang dan kuat beribadat. Tapi setelah semua orang yang kukasihi meninggal dunia, aku merasa amat kecewa. Semua doaku tak pernah dimakbulkan oleh Allah. Aku selalu berdoa semoga ibu sempat melihat kegembiraanku menerima ijazah, tapi doaku tidak dimakbulkan. Dan aku juga berdoa semoga Ramlah tidak mati. Sepuluh hari dia dirawat di hospital, sepuluh hari juga aku tidak tidur, berdoa siang dan malam semoga dia selamat tapi aku terus kecewa. Seolah-olah Tuhan membenciku.”

Tiap-tiap yang hidup mesti mati bang. Abang juga akan mati, bertaubatlah,” Halim ketawa berdekah-dekah.

Sepatutnya abang bersyukur kepada Allah kerana abang berjaya dalam pelajaran dan kini hidup senang.”

Aku berjaya kerana usahaku sendiri Nor.”

Jangan takbur bang, kejayaan abang adalah rezeki dari Allah. Hidup tidak akan berkat tanpa restu dari Allah bang.”

Ah, kau inat orang yang berlilit serban tu berkat hidupnya? Huh, orang yang berlilit serban seperti Pak Guru Haji Salim juga pentingkan dunia,” Halim meluahkan rasa hatinya.

Aku merupakan anak muridnya mengaji Quran yang terpandai tetapi kenapa dia menolak pinanganku?”

Itu kebebasan dia, dia berhak membuat keputusan siapa yang sesuai jadi menantunya.”

Bukan itu sebabnya tapi wang, wang dan pangkat yang jadi puncanya. Masa itu aku hanya kerani biasa mana nak lawan dengan guru lepasan universiti,” marah sungguh Halim.

Aku benci pada orang alim yang menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.”

Nor sayangkan abang, Nor mahu abang kembali ke jalan yang benar.”

Sayang konon! Aku tau kau kahwin dengan aku bukan kerana kasih atau cinta Nor tapi kerana simpati dan dipaksa oleh ibumu,” Halim ketawa kecil. “Aku tak perlukan simpati dari sesiapa pun. Aku bukannya anak kecil yang perlu dibelai dan dipujuk.”

Nyatalah kini yang Halim memang sukar dikawal, terpaksalah Norli terus memendam rasa. Sabarlah wahai hati, bisiknya selalu. Telinganya telah lali mendengar umpat jiran tetangga.

Suatu hari Ani datang ke rumahnya. “Halim ke mana?” Tanya Ani ketika mereka sedang menikmati minuman.

Dia keluar.”

Ke mana?”

Norli ketawa kecil. “Buat apa kau tanya sampai ke situ?” Ani mengeluh. “Kau ni dah jadi tunggul benyawa agaknya Nor. Suami kau kepit perempuan lain pun kau diamkan saja?”

Mana kau dapat berita karut ni?” Tanya Norli cuba bertenang. Tapi dadanya berdebar-debar.

Berita karut kata kau? Aku tengok dengan mata kepala aku sendiri Nor. Tiap-tiap malam minggu Halim mesti mengepit Ida. Ida tu mengajar sama satu sekolah dengan Milah. Dia beria-ia sungguh memberitahu Milah yang mereka akan kahwin bulan depan.”


*** sambung Part 3 ***

Cerpen - Keheningan Subuh (Part 1/3)

Majalah Wanita, Julai 1983
Penulis: Wardziah Abd Rahman

Hembusan bayu Pantai Cinta Berahi begitu lembut, nyaman dan menyegarkan. Daun-daun kelapa sentiasa lembut melambai, bersentuhan dan bergeseran melahirkan bunyi gemersik yang medu dan pilu.

Ombak tidak hentinya memukul pantai dan bih-buih putih berapungan, sejuk mata memandang. Kanak-kanak berlari riang, seriang rerama di musim bunga. Dan pada yang bercinta alangkah indahnya. Namun cinta tidak seindah kata, tidak semanis impian.

Betulkah kata-katamu Nor?”

Ya, betul.”

Kau akan kahwin bulan depan?”

Ya!”

Sejak bila kau bertunang?”

Aku tak pernah bertunang.”

Aku tak percaya!”

Aku tak bohong.”

Dia pilihanmu?”

Tidak, pilihan orang tuaku.”

Aziz mengeluh kecil, melemparkan pandangannya jauh ke tengah laut.

Aku kenal siapa Halim, Nor. Dia playboy nombor satu di bandar ini. Dia buaya darat, Nor,” Aziz bersuara agak keras. Memandang pada Norli, Norli tunduk, tenang.

Aku tahu Ziz, tapi dia pilihan ibuku. Aku tak dapat menolaknya,” keluh Norli perlahan.

Kalau kau betul-betul serius dengan cinta kita kau boleh menolaknya. Berikan alasan yang logik,” Aziz merenung Norli.

Halim merupakan anak sepupu ibuku, dia dibesarkan di kampung. Dia merupakan anak bongsu Mak Ngah Esah. Kakak-kakaknya uyang dua orang telah berkahwin dan punya keluarga sendiri. Ketika dia akan menghadapi peperiksaan SPM ayahnya meninggal dunia. Dia meneruskan pelajaran dalam kemiskinan. Kerana gagal melanjutkan pelajaran ke universiti dia bekerja,” Norli behenti mengambil nafas..

Dia bekerja keras mengumpulkan wang, dia ingin mengahwini Aizah anak Pak Guru Haji Salim tempatnya mengaji Quran dulu. Tapi pinangannya ditolak.Aizah dikahwinkan dengan seorang guru lepasan universiti,” sambung Norli agak terharu. Aziz membisu.

Kerana kecewa dia meninggalkan kampung, pindah ke bandar dan sekali-sekala mengunjungi rumahku. Dengan nasihat ayah dia belajar malam dan nasibnya baik, dia berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Semasa di tahun kedua emaknya meinggal dunia kerana sakit tua. Selepas itu ayahlah yang menanggung segala perbelanjaannya di universiti,” Norli berhenti sejenak, memandang Aziz yang sedang merenung ombak yang tidak hentinya memukul pantai.

Semasa di tahun akhir universiti, Halim bertemu dengan Ramlah. Kepada Ramlahlah dia mencurahkan kasih-sayangnya dan jangkanya mereka akan menaiki jinjan gpelanmin pada penhujung tahun ni. Tapi sayang jodoh mereka tidak sampai, Ramlah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya enam tahun lalu. Sejak itulah Halim hanyut di landa arus remaja. Hingga kini semua orang menggelarinya buaya dara,” keluh Norli.

Jadi kau mengahwininya kerana ingin membelanya?” Soal Aziz.

Entahlah,” Norli mengeluh kecil.

Aziz memeluk kedua lututnya. Kepalanya ditundukkan ke lutut. Dia termenung, suasana sepi seketika. Angin lembut membelai mesra kedua remaja. Darah yang panas kembali sejuk, Aziz mengangkat mukanya.

Biarlah kita terus bersahabat Nor, semoga kau akan jadi seorang isteri yang baik,” kata Aziz penuh terharu. Dada Norli sebak menahan tangis.

Pergilah Nor, izinkanlah aku mengasihimu dari jauh,” itulah kata-kata terakhir dari Aziz.


*** sambung Part 2 ***


Friday, July 3, 2009

Kisah Dari Email - Kalau Tak Nak Pulangkan

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj. "Horey! Papa balik!" Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya. Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

"Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

"Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila.

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

"Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. "Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?" sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut.

"Fail saya kat depan tu mana?"

"Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan."

"Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.

"Laila-" Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.


"Saya nak ke out station minggu depan."

"Lama?" Soal Laila.

"Dalam seminggu."

"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?"

"Budak-budak?"

"Ikut jugalah."

"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu tu-"

"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

"Bolehlah Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana." "Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad! Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

"Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!"

"Manalah saya ada masa.."

"Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!"

Dia tersentak dari khayalannya. "Kalau tak suka pulangkan balik!" Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma.. "Mizi, makan!" Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. "Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah."

"Papa! Makan!" Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya. "Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?"

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

"Awak masak apa?"

"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!"

"Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan.

"Keluar!"

"Mama dah masak Pa!"

"Awak saja makan!"

"Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!"

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan. "Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. "Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan." "Abang tak suka tengok papa marah-marah. .""Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan?"

Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain.. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.

"Laila.." serunya

"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

"Sunyi pulak rumah ni mak,"

"Lama-lama kau biasalah."

Airmatanya menitis laju. "Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu."

"Tak ada lah?"

"Ingat papa ni cop duit?"

Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. "Awak tak sihat ke?"

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

"Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi.. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!"

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan." Ujar Laila perlahan

"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri.. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni." Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah. "Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja. "Abang!"

"Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk. "Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.." Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang. Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. "Laila-"

"Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat.. "Wangi-wangi lagi. Dating ye?"

"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

"Ikut boleh?"

"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang. "Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak
kami."

"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. "

"Papa pesanlah.."

"Nantilah besar sikit." Dalihnya.

"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.."
"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,"

Laila terdiam. "Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki."

"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik." "Mama tanya sikit boleh?" Dia mengangguk "Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?"

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik," ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang mengata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

"Kalau tak suka pulangkan!" Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.

Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. "Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!" Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya.

Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa.. "Kalau tak suka pulangkan,"

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetapi dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah.

Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan.

Bukan saja cerita dari Sri

Agak terlalu lama Sri tidak bercerita. Tapi bercerita memerlukan mood yang sesuai dan masa yang sesuai. Kadang-kadang Sri tak jumpa mood dan masa sesuai itu. Ataupun memang Sri ni malas bercerita...hehehe...

Untuk merancakkan lagi blog Sri ini, Sri bercadang untuk memaparkan kisah-kisah dari email, cerpen-cerpen daripada Majalah Wanita yang lama-lama dulu (yang Sri taip atas minat Sri sendiri) dan jugak kisah cerita Sri sendiri. Sri ingin berkongsi cerita-cerita yang menarik minat Sri. Mungkin boleh dijadikan tauladan dan pandangan pada semua yang membaca.

Sri akan paparkan cerita-cerita ini sekali seminggu. Jadi boleh la jadikan kebiasaan untuk Sri membuka laman blog Sri ini sentiasa.Minggu ini adalah permulaannya. Julai 2009 yang penuh makna.

Semoga pembaca blog Sri akan terhibur dan gembira dengan cerita-cerita yang dipaparkan disini.