Forgive yourself and let go of any anger within you. Then you will see others with positive perspective







Thursday, August 26, 2010

Cerpen Mikro (3) - Siswi

Sebagai pelajar cemerlang, wajar Puteri memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan. Sebelum keputusan diumumkan, berdasarkan prestasi dalam ujian kelayakan, Puteri memperoleh 6 agregat, dipilih malam untuk penganjur biasiswa untuk memulakan kursus di sebuat instituisi pengajian tinggi di kota raya.

Selesai empat semester, Puteri dan beberapa teman sepengajian layak mendaftar di sebuah instituisi tersohor di luar negara, jurusan kewangan.

Di instituisi luar negara itu, Puteri dan teman-temannya, semuanya 12 orang adalah perintis. Tiada rujukan di sana. MSD tentu saja tidak dapat membantu dalam aspek pemilihan subjek.

Namun soal kejutan budaya mungkin dapat dibantu dan diatasi. Cuma soal memperoleh daging sembelihan halal mengambil waktu. Dan ia baru dipertemukan di Pusat Islam yang beroperasi di masjid kecil yang tersorok. Alhamdullillah.

Orientasi dan pendaftaran kursus berjalan mulus, terutama dalam bidang pengkhususan Puteri. Namun, Puteri sedikit panik memilih dan memperoleh kursus pilihan untuk meperlengkapkan unit semesternya.

Ada beberapa kendala. Di antaranya, justeru waktu, kapasiti kulith, jadual yang tidak mengizinkan, akan lupus waktu sembahyang asar terutamanya dan tiada perujuk. Justeru dia terus mendaftar pada saat akhir untuk kursus pilihan bidang psikologi.
Setelah beberapa jam kuliah keterkejutan Puteri tidak susut surut. Kiranya dia memilih Psikologi Haiwan merujuk khusus kepada perilaku anjing.

Apa signifikansnya? Puteri puntang-panting menanyakan dirinya. Warga tua Barat banyak bertemankan haiwan itu. Budaya mereka. Banyak keluarga single parent ikut memelihara anjing di samping anak tunggal mereka. Mereka lebih prihatin terhadap haiwan itu ketimbang anak tunggal sendiri.

Puteri sedar keterlanjurannya. Apa pilihanku, tanya dirinya. Tempoh pengguguran kursus sudah berlalu dan unit itu penting secara keseluruhan kursus semesternya.

****END***Othman Puteh; Berita Minggu; 5hb Januari, 1997 ****

Wednesday, August 25, 2010

Buku - Travelog Syahadah

Petikan daripada buku 'Travelog Syahadah' tulisan Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah, keluaran PTS Islami Sdn Bhd

...Setiap kali melihat orang Islam bersujud dalam solat, pasti akan hadir ucapan, "Awak tengok orang itu mencium punggung kawannya. Busuk. Baru lepas kentut."  Subhanallah. Hari ini, selepas memeluk Islam, saya meletakkan perendahan diri dan mengadu segala kelemahan dan kekurangan saya, ketika saya bersujud. Kerana saya yakin, itulah saat paling bahagia dan dekatnya seorang Hamba dengan Tuannya yang bernama Allah Rabbul a'laamin...

Tuesday, August 24, 2010

Cerpen Mikro (2) - Pekerja

Semua pekerja bersetuju dengan tawaran baru majikan hasil perundingan dua pihak. Pihak majikan melalui Pengurus Tenaga Manusia menawarkan ganjaran relatif tinggi, sesuai dengan guna tenaga dan kenaikan harga barangan keperluan, serta pakej tahunan yang menarik.

"Waouuuuu!"

"Pemalas belaka."

"Fitnah! Jangan menuduh sebarangan."

"Keluaran kilang ini tak pernah berkurangan."

"Keluaran tak bertambah," tekan Pengurus Personal. "Kamu tak dedicated. Culas. Tak menunjukkan prestasi baik."

"Kami sentiasa bertugas. Bekalan elektrik terputus selama...."

"Itu Ogos dulu. Kamu tak bekerja dengan bersungguh-sungguh."

"Melampau. Tuduhan melulu."

"Ada buktinya."

"Naikkan upah!"

"Tak ada alasan upah mesti dinaikkan. Kita dah ada perjanjian tentang upah minimum dan upah maksimum. Sejak dulu pun, sejak zaman penjajah lagi, kamu di sini memang malas, malas dan malas," tekan Pengurus Personal, merah matanya.

"Menghina!"

"Kamu pentingkan hiburan dalam kerja. Menuntut hak mendengar lagu-lagu dan celoteh mengarut daripada juruhebah radio. Tak ada konsentrasi dalam tugas. Memang pekerja kelas tiga."

Ada yang ingin membantah.

"Dengarkan dulu.... Jangan cuba menafikan hakikat!" Jerit Pengurus Personal semakin galak. "Kamu pentingkan hiburan tanpa memikirkan keselamatan diri. Kamu tak pernah berfikir untuk membangunkan ekonomi diri dan keluarga. Kamu tak pernah perhitungkan kemajuan dan peningkatan keluaran kilang yang juga peningkatan maruah dan upaya diri, bangsa dan negara. Kamu tak pernah fikirkan... dan mengabaikan fleksibiliti."

Senyap. Diam yang cukup panjang, malah budaya kerja warga organisasi, kepimpinan dan fleksibiliti. Semua itu diterima dengan baik, gembira dan jadi bualan di mana-mana; di kantin, pada waktu rehat, waktu menunggu, waktu kerja bermula, waktu di surau, di ruang rekreasi dan waktu sendirian di tandas.

...dan Pengurusan Sumber Manusia akan memperkenalkan beberapa idea baru yang kreatif  bagi melicinlancarkan perjalanan organisasi dan memastikan keluaran mencapai matlamat sasarannya.

Demikian bunyi cuplikan surat pekeliling pertama selepas persetujuan dimeterai. Justeru, pihak pengurusan mulai mencipta suasana kerja yang menyeronokkan.

Pekerja cemerlang diberikan kesempatan mengikuti program latihan dan pembangunan diri dalam aspek kemahiran dan peribadi. Bidang yang berkaitan dengan sistem upah/saraan, persoalan penjawatan, hubungan dua hala, kesihatan dan keselamatan, kebajikan dan sosial, pembangunan dan keberkesanan organisasi sentiasa di kaji, diteliti dan diberikan perhatian utama.

Syukur Alhamdullilah!

Pada suatu ketika, permintaan pengguna relatif tinggi walaupun prasarana di luar bidang kuasa kilang sama sekali. Desakan permintaan tidak boleh diabaikan dan mungkin mencetuskan chaos. Bagi memastikan ia terlaksana dan mencapai matlamat keluaran melebihi maksimum dan demi kepentingan kala juga; maka satu pekeliling baru diedarkan.

...bagi memastikan keluaran mencapai matlamatnya, maka waktu minum pada setiap shif di tarik. Semua pekerja berada di tempat masing-masing meneruskan kerja. Tidak perlu ke kantin dan anda akan dibekalkan kek dan sebotol plastik air mineral. Sebagai eksperimen bulan pertama, semua pekerja lelaki tak perlu ke bilik air/tandas untuk pembuangan air kecil. Sila gunakan botol plastik kosong air mineral anda tujuan penampungan itu.

tt.
Pengurus
Sumber Tenaga Manusia


****END **** Othman Puteh; Berita Minggu; 15hb Januari, 1997 ****

Cerpen Mikro (1) - Pengurus Personal

Di sebuah kilang di lokasi Bandar Tiga Vi. Pengurus Personal seketurunan berdiri di hadapan para pekerja. Wajahnya tegang tanpa senyum. Berjurus kala dia tercegat tanpa berkata-kata untuk memulakan ucapan mingguan, sebelum bersenam di ruang terbuka itu.

Pandangannya tajam dan sukar amat ditafsirkan itu diterabayapkan merata ke setiap wajah lelaki perempuan yang moyok dan ceria juga.

"Kelas tiga!"

Jelas itu bukan halalintar membelah jagat raya. Namun suaranya memampan dan bertalun memecahkan gegendang telinga. Pekak dan berdarah. Sementara yang lain, bagaikan terpijak litar putus. Mereka terenjat kejang seketika dan saling terpinga tidak percaya.

"Memalukan sungguh....dan memang kamu semua pekerja kelas tiga."

Beberapa pekerja berteriak memprotes.

"Kalau bukan pekerja kelas tiga...ya kelas berapa kamu? Pertama?"

"Kami tak mau mendakwa dan mengangkat diri. Tapi, mengapa dikategorikan kami pekerja kelas tiga?" Bantah setiausaha badan kebajikan.

"Kamu pelawak," tingkah Pengurus Personal.

"Pelawak di pentas. Bukan di sini."

Ya, tidak...tidak. Bukan pelawak. Dan suara-suara itu bergawangan mengisi ruang terbuka.

"Omong kosong belaka. Boleh buktikan?"

Pekerja wanita bertudung itu terdiam. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan juga. Dia memandang ke belakang dan memandang ke hadapan tentunya. Dilihat semua pekerja memandang ke arahnya. Di dapatinya Pengurus Personal merenung tajam. Dia tercabar.

"Boleh buktikan? Apa jaminan kamu?" Pekerja wanita bertudung terasa maruahnya dicabul.

"Boleh!"

"Pekerja kelas pertama?"

"Pekerja kelas satu...ya!"

"Boleh?"

"Boleh..boleh...boleh!"

Dan seluruh ruang lokasi di hadapan kilang itu bagaikan terangkat gamat dengan boleh, boleh, boleh dan boleh...

"Okey, kita mulakan senaman ...satu...dua....tiga.."

***** END **** Othman Puteh; Berita Minggu; 5hb January, 1997 ****

Monday, August 23, 2010

Dunia yang makin tua

Dunia yang makin tua, makin menampakkan porak peranda. Sana sini keluar berita yang sedih...banjir besar, banjir kilat, banjir lumpur, ribut petir, tsunami, tanah runtuh, kemarau, kering berpanjangan, panas melampau... air dan elektrik yang tidak mencukupi...

Bukan itu saja, manusia pun semakin hilang arah.. anak-anak kecil dibuang merata-rata. Manusia dijualbeli. Pergaduhan dan pembunuhan bukan lagi sesuatu yang mengerikan. Darah dan nyawa macam tiada makna. Boleh diambil dan dipertaruhkan bila-bila masa aja..Siapa engkau, siapa aku bukan lagi sesuatu yang penting. Hormat menghormati, tolak ansur, budi bahasa...semuanya makin pudar dan hilang..

Aku juga yang semakin tua.

Aku dan dunia ini yang akan berlalu sehingga ke penghujungnya.. Moga Allah memberkati ku dengan iman yang berpanjangan hingga menjejaki syurga Mu yang abadi..