Forgive yourself and let go of any anger within you. Then you will see others with positive perspective







Tuesday, October 27, 2009

Cerpen - Merak (Part 1/2)

Majalah Wanita, Ogos 1978
Penulis: Wahba

Merak naik atas busut, mengibaskan kedua sayapnya, dan mengembangkan ekornya. Jambul halus di atas kepalanya tegak.

Bunga-bunga di sayap, bunga-bunga di tubuh dan bunga-bunga di ekornya kembang, berwarna-warni. Relak relak itu indah, berbinar dan berbintik macam pelangi waktu senja.

Matanya bersinar, pandang kiri kanan. Nampak muka-muka dungu, terlopong, dan dia gelak bangga macam Maharaja Parsi kurun empatbelas.

Mulutnya terbuka tertutup, tersenyum tersengih. Sekali sekala it amengeluarkan bunyi, cit-cit-cit, galak, megah dan manja.

Punai, Murai, Ciak, Gagak, Merbuk terkelu di dahan Meranti memandang gelagat Merak yang berpusing kiri kanan macam peragawati.

Mereka asyik memerhati warna-warna indah bulu Merak yang berkilau-kilauan. Tompok-tompok warna itu menyilaukan pandangan mereka.

Lihatlah aku! Lihatlah aku!”

Merak berpusing lagi, kiri kanan. Suaranya terpecah ke Desa Jagat. Gagak mendehem, mencebeb dan meludah ke tanah.

Tuuiiih!”

Merak mengembangkan ekornya. Dipusing-pusingkan tubuhnya. Ekornya kembang macam kipas. Warna-warnya berkilau-kilauan.

Lihatlah aku! Lihatlah aku!”

Punai, Murai dan Ciak bertepuk. Pak, pak, pak Punai bertepuk dari dahan sena. Pak, pak, pak, Murai bertepuk. Pak, pak, pak, Ciak bertepuk.

Merak makin galak. Dia bangga orang tepuk. Dia bangga terima siulan Murai. Dia bangga orang perhati dan memujanya. Dia bangga orang asyik merenungnya.

Aku cantik! Aku cantik!”

Suaranya nyaring mencecah Desa Jagat. Gagak meludah lagi. Tuih! Merak dengar Gagak mencemuhnya. Merak tahu Gagak bencikannnya.

Ah! Pedulikan Gagak. Biar dia menceceh. Biar dia mencemuh. Gagak hitam. Gagak hodoh. Gagak hina. Siapa mahu peduli Gagak. Gagak makan bangkai. Gagak makan tahi.

Merak berpusing-pusing di atas busut itu. Seronok benar dia mempamerkan keindahan bulunya yang berwarna-warni itu. Suaranya nyaring. Senyumannya melebar. Matanya bersinar, berkaca-kaca macam matahari baru terbit.

Mereka menjenguk ke paya tidak jauh dari tempatnya berdiri. Nampak kepalanya yang kurus tetapi cantik dengan berbagai warna-warni.

Dia tersenyum.

Tidak ada siapa yang boleh menandingi aku, hatinya berbisik. Aku dikurniakan Tuhan kecantikan. Keindahan adalah milik aku. Tidak ada cacat cela pada diri aku. Merak mengomel tentang dirinya serba indah, yang serba cantik itu.

Merak melompat lagi ke atas busut. Kedua sayapnya dikembangkan. Ia berpusing-pusing. Tepukan gemuruh kedengaran lagi.

Terima kasih! Terima kasih!”

Gagak memerhati dari atas dahan sena. Dia bencikan Merak tetapi dia suka memerhatikan Meak. Seluruh penghuni Desa Jagat suka tengok Merak. Seminggu sekali, hari Ahad tentunya, Merak akan naik atas busut itu dan mempamerkan kecantikannya.

Minggu lepas Merak bawa suku sakatnya dari Desa Jagung dan Desa Gading. Merak Desa Jagung yang gebu dan montel itu telah mempesonakan mereka. Merak Desa Jagugng lebih pandai bergaya dari Merak Desa Jagat.

Merak Desa Gading agak gemuk dan pipinya agak tembam. Semasa mempamerkan dirinya, Merak Desa Gading terkentut-kentut. Gagak mengilai gelihati. Murai mengilai gelihati. Ciak pun mengilai, Ha, ha, ha, ha!

Merak Desa Gading balik kerana malu.

Merak menari lagi atas busut. Berpusing-pusing. Tepukan gemuruh kedengaran. Kepalanya terdongak. Dia bangga.

Lihatlah aku. Haiwan tercantik di dunia!” Dia bersuara sambil mengembangkan kedua kepak sayapnya.

Alangkah indah warna-warnanya.

Alangkah cantiknya corak warnanya.

Lihatlah aku! Lihatlah aku!”

Dia berpusing-pusing. Tiga ekor anaknya yang masih kecil, montel-montel dan ayu datang ke depannya, menari bersama ibunya yang jelita.

Anak-anak aku pun cantik! Anak-anak aku pun jelita!”

Merak menari berpusing-pusing.

Gagak meludah tuih ke tanah.

Orang takbur dikutuk Allah!”

Merak berhenti menari. Dipandang Gagak yang berkata tadi. Diludahnya tuih ke tanah.

Kau burung hodoh, hitam legam macam arang!” Merak menghina. “Kau dengki aku cantik. Kau dengki aku lawa.”

Punai, Ciak, Murai yang duduk di dahan sena memandang ke arah Gagak.

Punai hampiri Gagak.

Eh, buat apa kau ganggu. Kau tak suka dia, pergi lari ke bukit. Kami tengah syok, kau ganggu.”

Dia takbur!” Ujar Gagak.

Dia nak takbur atau tidak, apa ada kena mengena dengan kita.” Punai berkata. “Dia penghibur kita. Kita mahukan hiburan darinya. Itu saja.”

Kerana dia cantik, kau mahu mengampu dia!” Gagak marah. “Memang orang seperti kamu suka mengampu. Apa kamu dapat?”

Punai naik marah bila Gagak berkapa dia hendak mengampu Merak. Mahu diterajangnya Gagak tapi Murai cepat menghalangnya.

Jangan bergaduh dengan Gagak, kau kalah,” ujar Murai sambil menarik tubuh Punai.

Merak mencebeb ke arah Gagak.

Muka tak bermalu!”


******************* End of Part 1/ 2 *******************


No comments: