Kisah dan cerita dari pengalaman Sri (penulis), juga kisah-kisah dari Email dan juga cerpen-cerpen dari majalah/akhbar. Dalam pada itu artikel/gambar/rencana yang sesuai juga Sri cuba paparkan.. untuk memeriahkan blog ini
Tuesday, October 27, 2009
Apakah yang kucari?
Mungkinkah disebabkan umurku yang semakin meningkat. Dan aku masih sendiri. Mungkinkah aku mencari cinta? Tapi cinta siapa yang kucari? Seorang kekasih? Seorang suami? Seorang teman baik? Cinta Allah?
Mungkinkah aku mencari ketenangan diri? seringkali aku dilanda masalah yang sukar untuk kuselesaikan dengan cepat. Kualiti kerjaku dalam menyelesaikan masalah turun mendadak. Adakah umurku mengurangkan kemampuanku?
Mungkinkah aku mencari sesuatu keseronokan yang gila? umpamanya pergi melancong keseluruh dunia. Duit pun ada. Masa pun ada. Cuti aku tiap tahun bukannya pernah habis. Kena 'burn' lagi ada la.
Tapi bagaimana dan macamana?
Cerpen - Merak (Part 1/2)
Penulis: Wahba
Merak naik atas busut, mengibaskan kedua sayapnya, dan mengembangkan ekornya. Jambul halus di atas kepalanya tegak.
Bunga-bunga di sayap, bunga-bunga di tubuh dan bunga-bunga di ekornya kembang, berwarna-warni. Relak relak itu indah, berbinar dan berbintik macam pelangi waktu senja.
Matanya bersinar, pandang kiri kanan. Nampak muka-muka dungu, terlopong, dan dia gelak bangga macam Maharaja Parsi kurun empatbelas.
Mulutnya terbuka tertutup, tersenyum tersengih. Sekali sekala it amengeluarkan bunyi, cit-cit-cit, galak, megah dan manja.
Punai, Murai, Ciak, Gagak, Merbuk terkelu di dahan Meranti memandang gelagat Merak yang berpusing kiri kanan macam peragawati.
Mereka asyik memerhati warna-warna indah bulu Merak yang berkilau-kilauan. Tompok-tompok warna itu menyilaukan pandangan mereka.
“Lihatlah aku! Lihatlah aku!”
Merak berpusing lagi, kiri kanan. Suaranya terpecah ke Desa Jagat. Gagak mendehem, mencebeb dan meludah ke tanah.
“Tuuiiih!”
Merak mengembangkan ekornya. Dipusing-pusingkan tubuhnya. Ekornya kembang macam kipas. Warna-warnya berkilau-kilauan.
“Lihatlah aku! Lihatlah aku!”
Punai, Murai dan Ciak bertepuk. Pak, pak, pak Punai bertepuk dari dahan sena. Pak, pak, pak, Murai bertepuk. Pak, pak, pak, Ciak bertepuk.
Merak makin galak. Dia bangga orang tepuk. Dia bangga terima siulan Murai. Dia bangga orang perhati dan memujanya. Dia bangga orang asyik merenungnya.
“Aku cantik! Aku cantik!”
Suaranya nyaring mencecah Desa Jagat. Gagak meludah lagi. Tuih! Merak dengar Gagak mencemuhnya. Merak tahu Gagak bencikannnya.
Ah! Pedulikan Gagak. Biar dia menceceh. Biar dia mencemuh. Gagak hitam. Gagak hodoh. Gagak hina. Siapa mahu peduli Gagak. Gagak makan bangkai. Gagak makan tahi.
Merak berpusing-pusing di atas busut itu. Seronok benar dia mempamerkan keindahan bulunya yang berwarna-warni itu. Suaranya nyaring. Senyumannya melebar. Matanya bersinar, berkaca-kaca macam matahari baru terbit.
Mereka menjenguk ke paya tidak jauh dari tempatnya berdiri. Nampak kepalanya yang kurus tetapi cantik dengan berbagai warna-warni.
Dia tersenyum.
Tidak ada siapa yang boleh menandingi aku, hatinya berbisik. Aku dikurniakan Tuhan kecantikan. Keindahan adalah milik aku. Tidak ada cacat cela pada diri aku. Merak mengomel tentang dirinya serba indah, yang serba cantik itu.
Merak melompat lagi ke atas busut. Kedua sayapnya dikembangkan. Ia berpusing-pusing. Tepukan gemuruh kedengaran lagi.
“Terima kasih! Terima kasih!”
Gagak memerhati dari atas dahan sena. Dia bencikan Merak tetapi dia suka memerhatikan Meak. Seluruh penghuni Desa Jagat suka tengok Merak. Seminggu sekali, hari Ahad tentunya, Merak akan naik atas busut itu dan mempamerkan kecantikannya.
Minggu lepas Merak bawa suku sakatnya dari Desa Jagung dan Desa Gading. Merak Desa Jagung yang gebu dan montel itu telah mempesonakan mereka. Merak Desa Jagugng lebih pandai bergaya dari Merak Desa Jagat.
Merak Desa Gading agak gemuk dan pipinya agak tembam. Semasa mempamerkan dirinya, Merak Desa Gading terkentut-kentut. Gagak mengilai gelihati. Murai mengilai gelihati. Ciak pun mengilai, Ha, ha, ha, ha!
Merak Desa Gading balik kerana malu.
Merak menari lagi atas busut. Berpusing-pusing. Tepukan gemuruh kedengaran. Kepalanya terdongak. Dia bangga.
“Lihatlah aku. Haiwan tercantik di dunia!” Dia bersuara sambil mengembangkan kedua kepak sayapnya.
Alangkah indah warna-warnanya.
Alangkah cantiknya corak warnanya.
“Lihatlah aku! Lihatlah aku!”
Dia berpusing-pusing. Tiga ekor anaknya yang masih kecil, montel-montel dan ayu datang ke depannya, menari bersama ibunya yang jelita.
“Anak-anak aku pun cantik! Anak-anak aku pun jelita!”
Merak menari berpusing-pusing.
Gagak meludah tuih ke tanah.
“Orang takbur dikutuk Allah!”
Merak berhenti menari. Dipandang Gagak yang berkata tadi. Diludahnya tuih ke tanah.
“Kau burung hodoh, hitam legam macam arang!” Merak menghina. “Kau dengki aku cantik. Kau dengki aku lawa.”
Punai, Ciak, Murai yang duduk di dahan sena memandang ke arah Gagak.
Punai hampiri Gagak.
“Eh, buat apa kau ganggu. Kau tak suka dia, pergi lari ke bukit. Kami tengah syok, kau ganggu.”
“Dia takbur!” Ujar Gagak.
“Dia nak takbur atau tidak, apa ada kena mengena dengan kita.” Punai berkata. “Dia penghibur kita. Kita mahukan hiburan darinya. Itu saja.”
“Kerana dia cantik, kau mahu mengampu dia!” Gagak marah. “Memang orang seperti kamu suka mengampu. Apa kamu dapat?”
Punai naik marah bila Gagak berkapa dia hendak mengampu Merak. Mahu diterajangnya Gagak tapi Murai cepat menghalangnya.
“Jangan bergaduh dengan Gagak, kau kalah,” ujar Murai sambil menarik tubuh Punai.
Merak mencebeb ke arah Gagak.
“Muka tak bermalu!”
******************* End of Part 1/ 2 *******************
Tuesday, July 14, 2009
Kisah Dari Email - Tugas Terakhir Lina (Par t 2/2)
Jam sudah menunjukkan menandakan masuknya waktu Isyak. Maria mengerjakan solat Isyak dengan tenang. Setelah selesai Maria bersolek ala kadar dan Lina sudah menyelesaikan tugasnya. Maria lihat di atas mejanya proposal itu sudah lengkap dengan slide lay-out dan Maria dapat membayangkan presentationnya esok akan success.
InsyaAllah... dia akan mendapat premium yang agak lumayan dalam keadaan gawat-gawat begini. Maklumlah dalam keadaaan suasana ekonomi jatuh begini, setiap syarikat besar akan menggunakan insurans untuk mengurangkan risiko kerugian.
Satu demi satu Maria meneliti slide tersebut, dan dia berpuas hati dengan hasil kerja Lina. Nampaknya Lina sudah membuat beberapa pembetulan pada kerja Maria sebentar tadi, dan Lina bijak memilih warna. Maria rasa,Lina lebih sesuai masuk ke bidang grafik dari bidang insurans yang kurang kreativitinya yang tinggi ini.
"Eeeeee...... ngerinya...., macam manalah agaknya dia boleh design gambar eksiden punya real..??" detik hati Maria. Maria memandang slide bertajuk Motor Risks. Sebuah kereta dan bas ekspres menghimpit sebuah motosikal. Kedua-dua pemboncengnya mati. Salah seorang daripadanya tercampak dan terbaring agak jauh dari motosikal manakala yang seorang lagi terhimpit di bawah kereta. Digambarkan boot kereta kemek dan cermin pecah. Tinggi sungguh imaginasi Lina mengambarkan keadaan cermin kereta pecah berderai dan darah membasahi jalan raya. Maria sudah membayangkan suasana presentation esok.
"It is going to be successful presentation with all this slides....," Maria tersenyum gembira dan segera mengemas begnya. Lina masih tidak kelihatan Mungkin ke bilik air agaknya. Maria mencari di sana kemudian berpusing satu pejabat dan memanggil nama Lina, namun tiada sahutan.
"Ke mana pula Lina pergi..?? Dah balik agaknya budak nie...," bisik Maria setelah gagal menemui Lina. Mungkin keluar ketika dia sedang sembahyang dan tidak memberitahu Maria.
"Tak apalah...janji kerja dah siap..." detik Maria sambil membawa komputer bimbitnya dan kesemua persediaan untuk presentation kerana dia tidak bercadang untuk singah ke pejabat terlebih dahulu pagi esok.
Seperti yang dijangkakan, presentation berjaya. Pelanggannya bersetuju dengan setiap kelas insurans yang dicadangkan. Malah pelanggannya juga sanggup meningkatkan lagi sum insured bagi risiko harta benda mereka.
Maria memandu ke pejabat dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya. Tiba di bangunan Sime Darby, Maria segera menuju ke lif dan menekan butang ke pejabatnya. Maria masuk ke pejabat bersemangat untuk berjumpa Lina dan mengucapkan terima kasih atas hasil usaha kerjanya semalam. Tengah hari nanti Maria bercadang mahu belanja Lina makan. Walaupun Lina sememangnya patut membantunya tetapi Maria memang suka mengambil hati orang bawahannya.
"Puan Maria, macam mana you boleh happy aje hari nie...?? tegur Faridah, penyambut tetamu di pejabat nya.
"Presentation I success...,sebab tu I happy....Lina dah sampai..??" tanyanya.
"Lina..??...Err.., you tak tahu ke..??" wajah Faridah berkerut memandang
Maria.
"Tak tau apa??... Semalam Lina patut keluar dengan Zam.., tapi pukul 7:30 dia datang balik ke pejabat.... tolong I buat kerja,.... Dia kata datenya cancel...." Maria menatap Faridah yang begitu kehairanan.
"Dia datang balik ke pejabat pukul 7:30..????... Tolong you buat keja..??...Errr you tak baca paper hari nie ker...??.." Mata Faridah terbeliak. Banyak tanya pulak Faridah nie.
"Why...." hati Maria mula gusar. Faridah menghulurkan suratkhabar dan....otak Maria pantas mencerna pandangan matanya. Hatinya berdebar kencang ketika membaca tajuk utama akhbar hari tu.
>>>>DUA PEMBONCENG MOTOSIKAL MAUT DIHIMPIT KERETA DAN BAS' <<<<<