Forgive yourself and let go of any anger within you. Then you will see others with positive perspective







Tuesday, September 8, 2015

Perjalanan baru ku

Tepat pada 31hb Disember 2014, maka tamatlah sudah kerjayaku di tempat kerja ku sekarang setelah bekerja selama 21 tahun... 21 tahun!!... bagi sesetengah orang, agak lama. Tapi bagi sebahagian yang lain, masih kurang. Apapun, keputusan telah kuambil. Dan tiada jalan ke belakang lagi.

Aku memohon untuk bersara awal. Atas alasan untuk balik ke kampung dan menjaga kedua ibu bapaku. Keputusan ini tidak mudah sebenarnya. Jejak umurku 40 tahun, aku sudah mula berfikir-fikir tentang arah tujuan perjalananku, karierku, kehidupanku dan kehendakku. Apa yang kucari selama ini?

Dalam pada itu, aku telah ditugaskan untuk bekerja di luar negara selama 10 bulan, di bandar Kathmandu, Nepal. Negara yang tidak pernah kujangkakan akan ke sana. Walaupun aku berada di sana tidak terus-terusan 10 bulan itu, tapi pengalaman berada di sana membuatkan lebih mudah untuk aku menilai arah tuju kehidupanku. Pelik bukan?.. tapi itu lah realitinya. Kehidupan di sana memberikan makna penting buatku. Aku menjadi lebih prihatin dan lebih dekat dengan Allah. Bukan dalam ertikata aku sering solat malam atau sering membaca Al-Quran, tetapi dalam melihat kehidupan masyarakat di sana dan juga dalam pada aku menjaga nilai-nilai Islam.

Bila surat bersara awal ku berikan kepada Ketuaku, tersentak juga dia untuk seketika. Aku ditanya mengapa dan kenapa. Jawapanku memang mudah. Untuk ibu dan ayah, dan juga untuk memberi peluang orang bawahanku menjadi ketua. Perkara yang ketuaku tidak boleh sangkal adalah hal ibu ayah kerana dengan sebab ini, walau ditawarkan gaji tinggi atau jawatan yang lebih baik, keputusan tidak akan berubah. Aku tidak mahu bercerita panjang tentang hal pertemuan kami di sini.

Padaku, hanya satu perkara yang kucari. Itu pun baru kusedari semasa aku bercerita dengan kawan sepejabat di Kathmandu. Dia seorang yang tidak mempercayai tuhan, tetapi mempercayai kepada roh-roh yang ghaib dan kehendak sendiri. Hindu bagi dia adalah budaya sahaja, bukan agama. Jadi berbalik pada persoalan kami berdua. Antara kami berbicara tentang dua perkara penting. Persoalan pertama, apa yang satu-satunya yang menghalang diri untuk berjaya? Persoalan kedua: Apa tujuan hidup diri?

Untuk persoalan pertama, aku dan dia memang menjawab perkara yang sama. Iaitu satu-satunya yang menghalang diri untuk berjaya adalah diri sendiri. Jika ada kehendak, di situ ada jalan.

Untuk persoalan kedua, hanya aku yang menjawab. Aku tidak dapat jawapan daripadanya dan sampai balik ke Malaysia, ku lupa untuk bertanya hal tersebut. Jawapan ku ialah, tujuan hidup diri adalah untuk mendapat keredhaan Allah. Kerana kataku, apa saja yang dilakukan di dunia ini, bukan untuk apa-apa pun. Bukan untuk kemewahan, harta benda, keluarga atau apa saja. Tiada apa yang lebih penting daripada mendapat keredhaan Allah. Dan dari itu, segala apa yang diterima, akan terima, telah terima menjadi tidak relevan. Selagi Allah redha, selagi itu akan kulakukan apa yang perlu. Kawanku agak terkejut dengan jawapan ku. Dia yang tidak percaya tuhan, macamana nak sama jawapan denganku. Sebenarnya, aku juga tidak menyangka jawapan begini. Tapi jawapan ini lah yang menukar arah tuju semua perkara yang kulakukan.

Doaku semoga aku terus istiqamah dengan pegangan dan jalan ini.


10.24pm.